GEORGE TOWN: Tidak pernah berlaku sebarang insiden perobohan kuil atau tokong secara paksaan di Pulau Pinang sepanjang lebih sedekad lalu apabila kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk menyelesaikan isu berbangkit secara aman termasuk membuat penempatan semula ke tapak alternatif.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan itu dilaksanakan bagi memastikan isu melibatkan rumah ibadat bukan Islam (RIBI) dapat ditangani secara teratur tanpa menimbulkan konflik dalam masyarakat.
“Masalah ini sebenarnya adalah isu kebangsaan. Namun, di Pulau Pinang, kita amat bersyukur kerana dalam belasan tahun ini tidak pernah berlaku insiden bahawa kuil-kuil atau tokong-tokong perlu dirobohkan secara paksaan.
“Kita sentiasa mencari penyelesaian melalui penempatan semula atau menyediakan tapak alternatif sekiranya rumah ibadat tersebut terlibat dengan projek pembangunan atau infrastruktur,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran Program AI untuk Pembuatan (AIMP) dan AI Sandbox di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular sebuah poster mengenai himpunan sempena Operasi Terjahan Rumah Anutan Haram yang dijadual berlangsung pada 7 Mac lalu di hadapan Hospital Bukit Mertajam namun, himpunan itu telah dibatalkan.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, terdapat rumah ibadat dibina sejak dahulu tanpa kelulusan rasmi. Justeru, ia memerlukan proses pemutihan serta pengurusan semula oleh kerajaan negeri.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri turut mengambil langkah tegas bagi mengelakkan pembinaan baharu rumah ibadat tanpa kebenaran bagi memastikan keadaan dapat dikawal.
“Kita bertoleransi terhadap struktur yang sedia ada tetapi bagi pembinaan baharu tanpa kelulusan, penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan tegas supaya masalah ini tidak berulang,” katanya.
Mengulas langkah penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan tanah khas untuk tujuan penempatan semula bagi rumah ibadat yang terlibat.
Sebagai contoh katanya, projek di kawasan Ampang Jajar menyediakan lebih 30 plot tanah bagi membolehkan rumah ibadat di sekitar kawasan Bagan dipindahkan ke lokasi tersebut secara terancang.
“Penawaran telah dibuat kepada lebih 20 pihak dan ada yang sudah mula membina di tapak baharu itu. Ini adalah antara contoh bagaimana kita menangani isu rumah ibadat yang dibina tanpa kawalan pada masa lalu,” katanya.
Beliau berkata, bagi kes tertentu seperti di Bukit Mertajam pula, kerajaan negeri sedang mengenal pasti tapak alternatif yang sesuai sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat. – UTUSAN











