75 peratus komuniti dunia iktiraf Palestin negara merdeka

Lebih 75 peratus komuniti antarabangsa iktiraf Palestin negara merdeka

PENYOKONG Palestin mengibaran bendera negara itu semasa menyertai demonstrasi di Orlando, Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis merancang untuk mengiktiraf negara Palestin dan berkemungkinan mengumumkannya secara rasmi semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Jun ini.

Presidennya, Emmanuel Macron mendakwa, langkah itu bertujuan untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin, dengan beberapa negara Asia Barat juga akan mengiktiraf negara haram Israel secara rasmi.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengalu-alukan pengumuman itu sebagai ‘langkah ke arah yang tepat’.

Di tengah perang berterusan Israel di Gaza, 10 negara – Mexico, Armenia, Slovenia, Ireland, Norway, Sepanyol, Bahamas, Trinidad dan Tobago, Jamaica serta Barbados – sudah mengiktiraf secara rasmi negara Palestin, menggambarkan sokongan antarabangsa semakin meningkat.

Pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukannya di peringkat global, meningkatkan keupayaan untuk memastikan pihak berkuasa Israel bertanggungjawab terhadap pendudukan dan menekan kuasa Barat supaya bertindak ke arah penyelesaian dua negara.

SEJARAH PENGIKTIRAFAN PALESTIN

Pada masa ini, Palestin diiktiraf sebagai negara merdeka oleh 147 daripada 193 negara anggota PBB, mewakili 75 peratus daripada masyarakat antarabangsa.

Ia turut diiktiraf oleh Holy See, badan induk Gereja Katolik dan Vatican City, yang memegang status pemerhati PBB.

Pada 15 November 1988, dalam tahun awal Intifada pertama, Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat, mengisytiharkan Palestin sebagai negara merdeka dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negaranya.

Selepas pengumuman itu, lebih 80 negara mengiktiraf Palestin, dengan sokongan kukuh daripada negara Global Selatan, termasuk Afrika, Asia, Amerika Latin dan dunia Arab.

Sebahagian besar negara Eropah yang mengiktiraf Palestin pada masa itu berbuat demikian sebagai sebahagian daripada bekas blok Soviet.

Beberapa tahun kemudian, pada 13 September 1993, rundingan langsung pertama antara rakyat Palestin dan Israel membawa kepada pemeteraian Perjanjian Oslo.

Ia sepatutnya membawa kepada penentuan nasib rakyat Palestin dalam bentuk negara Palestin bersama Israel, namun perkara itu tidak dicapai.

Pada akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an, hampir 20 negara mengiktiraf Palestin, diikuti oleh 12 lagi negara antara tahun 2000 dan 2010, kebanyakannya dari Afrika serta Amerika Selatan.

Menjelang tahun 2011, semua negara Afrika kecuali Eritrea dan Cameroon mengiktiraf Pa­lestin.

Pada 2012, Perhimpunan Agung PBB mengundi dengan majoriti besar (138 menyokong, sembilan menentang dan 41 berkecuali) untuk menukar status Palestin kepada negara pemerhati bukan anggota.

Pada 2014, Sweden menjadi negara pertama di Eropah Barat yang mengiktiraf negara Palestin.

SOKONGAN NEGARA EROPAH

22 Mei 2024, Norway, Ireland dan Sepanyol berturut-turut mengumumkan pengiktirafan kepada negara Palestin mengikut sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Sebagai tindak balas, Israel memanggil pulang dutanya dari ketiga-tiga negara Eropah tersebut dan berikrar untuk memperluaskan penempatan haram di Tebing Barat sebagai bentuk hukuman.

Pada 4 Jun, Slovenia pula menjadi negara Eropah terbaharu yang mengiktiraf negara Palestin.

Negara-negara Eropah lain, seperti Malta dan Belgium, sedang membincangkan mengenai langkah sama dan rancangan untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin.

Bagaimanapun, tiada satu daripada negara Kumpulan Tujuh (G7) – Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang berbuat demikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN