TOKYO: Jepun mencatatkan jumlah kebankrapan korporat tertinggi dalam tempoh 11 tahun, dengan lebih 10,000 syarikat gulung tikar bagi tahun fiskal 2024.
Jumlah tersebut dilaporkan akhbar Mainichi Shimbun yang memetik dapatan Tokyo Shoko Research.
Syarikat penyelidikan kredit itu melaporkan kebanyakan syarikat yang terjejas adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang tidak mampu menampung tekanan akibat kekurangan tenaga kerja serta peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
Sebanyak 10,144 kes kebankrapan dicatatkan melibatkan hutang minimum 10 juta yen (RM303,825), meningkat 12.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, 89.4 peratus melibatkan syarikat dengan kurang daripada 10 pekerja, yang didapati gagal mendapatkan pembiayaan operasi selepas berakhirnya langkah penangguhan cukai khas semasa pandemik Covid-19.
Walaupun jumlah kes meningkat, nilai keseluruhan liabiliti syarikat menurun 3.6 peratus kepada 2.37 trilion yen (RM71.9 bilion).
Sektor perkhidmatan merekodkan jumlah kebankrapan tertinggi iaitu sebanyak 3,398 kes, meningkat 12.2 peratus dan merupakan jumlah tertinggi sejak tahun fiskal 1989 manakala sektor pembinaan pula mencatatkan 1,943 kes, naik 9.3 peratus.
Bagaimanapun, sektor logistik menunjukkan penurunan sebanyak 3.8 peratus kepada 424 kes, berikutan kejayaan rundingan harga yang meringankan beban kewangan syarikat terbabit.
Peningkatan kes kebankrapan ini menimbulkan kebimbangan terhadap daya tahan ekonomi Jepun dalam menghadapi tekanan kos dan cabaran pasaran buruh yang semakin meruncing. – AGENSI