WASHINGTON: Kongres Amerika Syarikat (AS) mengumumkan siasatan terhadap Universiti Harvard semalam, menuduh institusi pendidikan terkemuka dunia itu melanggar undang-undang hak sivil dalam langkah terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump yang semakin agresif terhadap institusi elit negara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Dewan, James Comer dan Pengerusi Kepimpinan Dewan, Elise Stefanik, dalam satu surat rasmi kepada Presiden Harvard, Alan Garber, menuntut dokumen berkaitan amalan pengambilan pekerja, program kepelbagaian, serta protes kampus pro-Palestin yang berlaku tahun lalu.
Langkah itu selaras dengan usaha Trump mendapatkan kawalan luar biasa terhadap universiti tertua dan terkaya di AS tersebut, termasuk membatalkan dana penyelidikan bernilai AS$2.2 bilion (RM9.6 bilion) serta mengugut mengambil tindakan tambahan.
“Harvard jelas sekali tidak mampu atau tidak mahu mencegah diskriminasi yang menyalahi undang-undang, malah atas arahan anda, menolak penyelesaian yang munasabah oleh pihak persekutuan yang bertujuan mengembalikan pematuhan Harvard terhadap undang-undang,” kata surat itu.
Pengumuman siasatan dibuat selepas Trump mengecam Harvard kerana enggan tunduk kepada pengawasan ke atas dasar kemasukan pelajar, amalan pengambilan staf, dan kecenderungan politik universiti tersebut.
Universiti Harvard menolak tuntutan tersebut dan menegaskan ia tidak akan berunding mengenai kebebasannya atau hak perlembagaan yang dijamin kepadanya.
Menurut laporan media tempatan, Trump turut menyasarkan beberapa universiti elit lain seperti Brown, Cornell, Northwestern, Pennsylvania dan Princeton masing-masing diugut dengan pembekuan dana antara AS$175 juta (RM771 juta) hingga AS$1 bilion (RM4.4 bilion).
Republikan mendakwa tindakan itu adalah tindak balas terhadap apa yang mereka anggap sebagai peningkatan antisemitisme, susulan gelombang protes besar-besaran di kampus universiti menentang perang Israel di Gaza tahun lalu.