MOSCOW: Sempena ulang tahun ke-80 kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua, Presiden Russia, Vladimir Putin mengisytiharkan gencatan senjata penuh selama tiga hari dalam perang dengan Ukraine pada Mei ini.
Kremlin memberitahu, gencatan senjata 72 jam itu akan bermula dari 8 Mei hingga 10 Mei dan menyeru Ukraine untuk turut serta.
“Semua permusuhan akan dihentikan dalam tempoh ini. Russia percaya Ukraine harus mengikut saranan ini,” menurut kenyataan Kremlin.
Kremlin juga menyatakan sekiranya Ukraine melanggar gencatan senjata, angkatan bersenjata Russia akan memberikan tindak balas yang ‘tepat dan berkesan’.
Namun, Ukraine tidak bersetuju dengan gencatan senjata yang disifatkan terlalu cepat itu dan membuat tuntutan supaya langkah itu dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan.
“Mengapa perlu menunggu dari 8 hingga 10 Mei untuk melakukan gencatan senjata? Kenapa tidak lakukan lebih lama, sekurang-kurangnya 30 hari?
“Adakah gencatan senjata selama 72 jam itu hanya untuk memastikan Putin boleh menyertai perarakan dengan tenang?
“Kami menghargai nyawa manusia, bukan perarakan. Kami percaya dunia memahami tiada sebab untuk menunggu sehingga 8 Mei dan gencatan senjata bukan hanya untuk beberapa hari sebelum pembunuhan disambung semula,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam ucapannya.
Zelensky menyeru gencatan senjata penuh dan tanpa syarat sekurang-kurangnya 30 hari untuk memberikan asas bagi diplomasi sebenar.
Dalam pada itu, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha berkata, jika Russia benar-benar mahukan gencatan senjata, negara itu boleh lakukan sekarang tanpa perlu memilih sebarang tarikh.
“Ukraine bersedia menyokong gencatan senjata yang kekal, bertahan lama, dan penuh. Dan inilah yang kami cadangkan secara berterusan, sekurang-kurangnya 30 hari,” katanya.
Pendirian Ukraine itu menyamai seruan Rumah Putih yang menyatakan Presiden Donald Trump mahu gencatan senjata kekal, selain beliau semakin ‘kecewa’ dengan pemimpin Russia dan Ukraine.










