BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand memaklumkan seorang eksekutif warga China ditahan berhubung pembinaan sebuah bangunan pencakar langit di Bangkok yang runtuh dan mengorbankan puluhan nyawa akibat gempa bumi besar bulan lalu.
Menara setinggi 30 tingkat itu musnah sepenuhnya dan menjadi timbunan runtuhan apabila gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Myanmar, negara jiran Thailand, bulan lalu.
Seramai 47 orang maut di tapak pembinaan, manakala 47 lagi masih dilaporkan hilang.
Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong dalam satu sidang media pada Sabtu memaklumkan, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap empat individu, termasuk tiga warganegara Thailand yang terlibat dengan syarikat China Railway No.10, atas kesalahan melanggar Akta Perniagaan Asing.
Jabatan Siasatan Khas (DSI) yang berada di bawah Kementerian Kehakiman turut mengesahkan bahawa seorang daripada empat individu tersebut telah ditahan, iaitu seorang wakil syarikat warga China yang dikenali sebagai Zhang.
Syarikat China Railway No.10 merupakan sebahagian daripada usaha sama dengan syarikat Itali-Thailand dalam projek pembinaan menara Pejabat Audit Negara Thailand sebelum ia runtuh.
Zhang dilaporkan memegang 49 peratus saham dalam syarikat tersebut, manakala tiga lagi warga Thailand itu memiliki baki 51 peratus.
Namun, Tawee mendedahkan bahawa terdapat bukti menunjukkan tiga warga Thailand itu hanya menjadi pemegang saham proksi bagi pihak asing.
Menurut Akta Perniagaan Asing Thailand, warga asing tidak dibenarkan memegang lebih daripada 49 peratus saham dalam syarikat yang beroperasi di negara itu.
Dalam perkembangan lain, Tawee turut memaklumkan bahawa beberapa siasatan berkaitan kejadian runtuhan itu sedang berjalan, termasuk dakwaan penipuan dalam proses tender serta penggunaan tandatangan jurutera palsu dalam kontrak penyeliaan pembinaan.
Awal bulan ini, pihak berkuasa keselamatan Thailand turut mendedahkan bahawa ujian ke atas keluli tetulang dari tapak pembinaan menunjukkan ada bahan yang digunakan tidak memenuhi piawaian kualiti.
Menara tersebut merupakan satu-satunya bangunan besar di Bangkok yang runtuh dalam tragedi gempa bumi dahsyat pada 28 Mac lalu, yang telah mengorbankan lebih 3,700 orang di Thailand dan Myanmar.-AFP