Dakwa tidak kompeten, Trump desak Pengerusi Rizab Persekutuan dipecat

Dakwa tidak kompeten, Trump desak Pengerusi Rizab Persekutuan dipecat

JEROME POWELL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam sekali lagi melancarkan serangan terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell dengan menggesa beliau ditamatkan perkhidmatan kerana didakwa gagal menurunkan kadar faedah dengan segera.

Gesaan keras itu hadir hanya sehari selepas Powell memberi amaran mengenai kesan buruk dasar tarif besar-besaran pentadbiran Trump terhadap ekonomi negara.

“Jerome Powell yang selalu terlambat dan salah, mengeluarkan laporan bersifat ‘kekecohan’ seperti biasa. Penamatan perkhidmatan Powell perlu dilakukan cepat!,” kata Trump menerusi satu hantaran dalam media sosial, Truth sosial.

Beliau turut mengulangi kritikan tersebut dalam satu sesi bersama media di Pejabat Oval, menyifatkan Powell sebagai terlalu perlahan dalam tindakan dan gagal menjalankan tugas sebagai ketua bank pusat negara itu.

“Saya tidak fikir dia menjalankan tugasnya. Dia terlalu lambat. Terlalu perlahan. Dan saya tidak gembira dengan prestasinya. Saya telah memaklumkannya,” kata Trump.

Kritikan Trump itu turut dikaitkan dengan tindakan Bank Pusat Eropah (ECB) yang pada hari sama mengumumkan pemotongan kadar faedah buat kali ketujuh dalam tempoh setahun, menunjukkan AS ketinggalan dalam langkah pelonggaran monetari.

Sementara itu, beberapa tokoh ekonomi ternama seperti bilionair Ray Dalio menyuarakan kebimbangan ekonomi AS mungkin sudah berada dalam kemelesetan atau menghampirinya, berikutan kesan dasar tarif yang digerakkan oleh Trump.

Powell yang dilantik oleh Trump sebagai Pengerusi Fed pada 2018, kemudian dilantik semula oleh Presiden Joe Biden pada 2022, dijadualkan menamatkan penggalnya pada Mei 2026.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Powell pernah beberapa kali menjadi sasaran kemarahan Trump, terutamanya apabila Fed menaikkan kadar faedah pada 2018 kerana kebimbangan terhadap tekanan inflasi akibat pasaran buruh yang ketat.

Pada 2019, Trump pernah melabel Powell sebagai musuh, dan pada Mac 2020 beliau mendakwa mempunyai hak untuk menyingkirkan Powell daripada jawatan itu namun pernah juga memujinya selepas Fed menurunkan kadar faedah kepada sifar bagi mengelakkan kemelesetan ketika pandemik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya