BEIJING: China mempertimbangkan untuk mengecualikan sebahagian barangan import Amerika Syarikat (AS) daripada dikenakan cukai sebanyak 125 peratus, sekali gus menjadi isyarat paling jelas Beijing kini semakin bimbang dengan kesan ekonomi akibat perang perdagangan yang berlarutan dengan Washington.
Menurut sumber yang enggan dikenali, satu pasukan khas di bawah Kementerian Perdagangan China kini mengumpul senarai barangan yang berpotensi untuk dikecualikan daripada cukai tersebut dan meminta syarikat-syarikat terbabit mengemukakan permohonan masing-masing.
Majalah kewangan Caijing dalam satu laporan yang memetik sumber industri memaklumkan, kerajaan China bersiap sedia mengecualikan lapan item berkaitan semikonduktor daripada cukai berkenaan, namun tidak melibatkan cip ingatan (memory chips).
Tular dalam media sosial dan dalam kalangan pemain industri pada Jumaat ialah satu senarai mengandungi 131 kategori produk yang dikatakan layak menerima pengecualian cukai.
Antara barangan yang disebut termasuk vaksin, bahan kimia dan enjin jet.
Laporan pertama mengenai kemungkinan pengecualian tarif oleh China telah didedahkan agensi berita Bloomberg pada Jumaat.
Langkah tersebut menunjukkan sama seperti AS, Beijing turut gusar dengan kesan ekonomi yang kian terasa ketika dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu sedang menuju ke arah pengasingan ekonomi menyeluruh.
Washington sebelum ini menyifatkan situasi semasa sebagai tidak mampan dari sudut ekonomi dan telah pun menawarkan pengecualian tarif terhadap beberapa produk elektronik namun, China tetap tegas menyatakan kesediaannya untuk terus ‘bertempur’ selagi AS tidak menarik semula dasar tarifnya.
Di sebalik retorik itu, ekonomi China kini berdepan tekanan deflasi, dengan permintaan domestik yang lemah serta perbelanjaan pengguna yang belum kembali pulih sejak pandemik.
Kerajaan China sebelum ini menyeru para pengeksport yang terjejas agar menumpukan pasaran tempatan, namun para pengusaha melaporkan keuntungan yang lebih kecil, permintaan yang perlahan dan pelanggan yang kurang konsisten.
Langkah pengecualian cukai ini dilihat bukan sahaja sebagai bentuk sokongan kepada industri tempatan, malah secara tidak langsung turut mengurangkan tekanan terhadap ekonomi AS, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada pentadbiran Rumah Putih. -AGENSI