'Bitter bracket fungus' cendawan paling pahit di dunia - Utusan Malaysia

‘Bitter bracket fungus’ cendawan paling pahit di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Sepasukan penyelidik dari Jerman menemukan sebatian paling pahit di dunia menerusi kajian terhadap sejenis cendawan liar yang dikenali sebagai Amaropostia stiptica atau lebih dikenali sebagai ‘bitter bracket fungus’.

Walaupun tidak beracun, rasa pahit melampau pada cendawan ini disifatkan oleh saintis sebagai cukup kuat untuk membuatkan sesiapa sahaja terasa seperti ‘menelan racun maut’.

Menerusi laporan yang diterbitkan dalam jurnal Journal of Agricultural and Food Chemistry terbitan American Chemical Society, penyelidik dari Institut Leibniz bagi Biologi Sistem Makanan dan Biokimia Tumbuhan di Jerman mendedahkan mereka menemui satu sebatian baharu yang dinamakan oligoporin D yang dipercayai paling pahit pernah ditemui di dunia.

Cendawan ini tumbuh secara melekat pada batang pokok di hutan-hutan terpencil di Eropah, Asia dan Amerika Utara dan ia jarang diberi perhatian kerana saiznya yang kecil serta penampilannya yang tidak menonjol, namun kini mendapat perhatian dunia saintifik berikutan penemuan bahan yang luar biasa itu.

Menurut pasukan penyelidik, semasa menganalisis cendawan Amaropostia stiptica, mereka mengenal pasti tiga sebatian baharu iaitu oligoporin D, E dan F yang tergolong dalam kumpulan triterpene glycosides.

Daripada ketiga-tiga sebatian itu, oligoporin D dikenal pasti sebagai yang paling menonjol kerana kepahitannya yang ekstrem dan yang menarik, walaupun hanya sedikit sahaja sebatian tersebut digunakan, ia sudah cukup untuk mengaktifkan reseptor rasa pahit dalam tubuh manusia, khususnya “TAS2R46”.

Dalam ujian yang dijalankan, para penyelidik mendapati hanya satu gram oligoporin D yang dilarutkan dalam 16,000 liter air jumlah yang cukup besar untuk memenuhi sebuah kolam masih dapat memberikan rasa pahit yang ketara.

Kepahitan luar biasa cendawan ini bukan sahaja mencetuskan minat dalam bidang makanan atau biologi, tetapi juga mencabar salah satu teori paling lama dalam dunia sains mengenai kaitan antara rasa pahit dan ketoksikan.

Selama ini, mereka beranggapan rasa pahit merupakan petunjuk awal terhadap bahaya atau racun dalam sesuatu bahan namun, kes cendawan Amaropostia stiptica membuktikan sebaliknya ia tidak beracun langsung, tetapi rasa pahitnya mampu mengejutkan deria rasa manusia.

Penemuan ini membuka ruang untuk kajian lebih mendalam mengenai punca sebenar kepahitan serta hubungannya dengan keselamatan makanan, perubatan dan tindak balas fisiologi manusia terhadap bahan kimia semula jadi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN