Zi Yu-Noraqilah kejutkan beregu No. 8 dunia

Zi Yu-Noraqilah kejutkan beregu No. 8 dunia

Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan mengejutkan beregu No. 7 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam perlawanan Kumpulan B pada Piala Uber di Horsens, Denmark.-IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu remaja negara, Low Zi Yu-Nuraqilah Maisarah Ramdan mencipta kejutan ke atas beregu No. 8 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Australia di Sydney, Australia, hari ini.

Gandingan yang menghuni ranking ke-84 dunia itu menyingkirkan wakil Taiwan tersebut yang juga pilihan kedua 21-19, 13-21, 21-19 dalam masa 1 jam 10 minit.

Kemenangan itu juga membalas kekalahan Zi Yu-Noraqilah ke atas Pei Shan-En Tzu pada pertemuan pertama mereka di Kejohanan Asia, April lalu.

Kejutan besar yang dilakar Zi Yu-Noraqilah ke atas beregu dalam kelompok 10 terbaik dunia itu bukanlah kali pertama mereka lakukan kerana sebelum ini pasangan No. 7 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun pernah jadi mangsa pada Piala Uber, April lepas.

Pada peringkat 16 terbaik, Zi Yu-Noraqilah dijangka berdepan wakil tuan rumah sama ada Jazmine Lam-Lim Yee Yuan atau Sai Tanvi Mushini-Ava Wong, Khamis ini.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan profesional, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi menewaskan Muhammad Putra Erwiansyah-Bagas Maulana dari Indonesia 21-18, 23-21 dalam masa 45 minit.

Pada pusingan kedua, Wei Jie-Ee Yi yang merupakan beregu baharu yang dipecah ganding akan menghitung pertemuan dengan pasangan Taiwan, Chen Cheng Kuan-Liu Kuang Heng. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN