NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza, termasuk orang awam yang berada dalam kitaran kematian tanpa henti di tengah serangan berterusan Israel serta sekatan kemasukan bantuan ke wilayah itu.
Bercakap kepada pemberita kelmarin, Guterres menolak cadangan baharu Israel untuk mengawal penghantaran bantuan ke Gaza, dengan risiko mengehadkan kemasukan secara tidak berperikemanusiaan.
“Biar saya jelaskan, kami tidak akan menyertai sebarang perjanjian yang tidak sepenuhnya menghormati prinsip kemanusiaan, tanpa berat sebelah, kebebasan dan berkecuali,” kata Guterres.
Tiada bantuan dihantar kepada 2.3 juta penduduk sejak 2 Mac lalu, ketika Israel terus menutup lintasan sempadan penting, menghalang kemasukan makanan, bekalan perubatan dan bahan api.
“Lebih sebulan berlalu tanpa sebarang bantuan masuk Gaza. Tiada makanan, bahan api, ubat-ubatan dan bekalan komersial.
“Dengan terhentinya bantuan, pintu bencana dibuka semula. Gaza adalah medan pembunuhan dan orang awam terperangkap dalam lingkaran kematian yang tiada penghujung,” kata Guterres di New York.
COGAT, unit tentera Israel yang bertanggungjawab terhadap perkara awam di wilayah Palestin yang diduduki, minggu lalu bertemu dengan agensi PBB dan kumpulan bantuan antarabangsa bagi mencadangkan mekanisme pemantauan serta kemasukan bantuan berstruktur untuk Gaza, selepas mendakwa bantuan diselewengkan dari orang awam oleh Hamas.
Bagaimanapun, pegawai bantuan kanan PBB untuk Gaza dan Tebing Barat, Jonathan Whittall berkata minggu lalu bahawa tiada bukti bantuan diselewengkan.
Bulan lalu, Israel menyambung semula pengebomannya ke Gaza, mengakhiri gencatan senjata rapuh selama dua bulan di wilayah itu.
Rejim itu juga menghantar semula pasukan tentera ke dalam Gaza dan berusaha merampas wilayah, termasuk beberapa bahagian Rafah di selatan sehingga tiada lagi zon selamat untuk penduduk Palestin berpindah.
SEKOLAH UNRWA DITUTUP
Israel turut menutup enam sekolah yang dikendalikan oleh agensi PBB untuk pelarian Palestin selepas bertindak menghalau organisasi itu dari Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, awal tahun ini.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, polis Israel memasuki sekolah secara paksa di kawasan Baitulmuqaddis Timur seperti Shuafat, Silwan, Sur Baher dan Wadi al-Joz pada Selasa.
Pegawai dan Kementerian Pendidikan Israel juga hadir, serta mengeluarkan arahan untuk menutup semua sekolah tersebut dalam tempoh 30 hari.
“Jika kami terpaksa menutup, akibatnya akan sangat buruk kerana kanak-kanak dinafikan hak pendidikan, yang memburukkan lagi penderitaan dan menjejaskan masa depan mereka,” kata Pengarah Pejabat Penerangan UNRWA, Abir Ismail.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, arahan Israel adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan peraturan yang memberikan perlindungan kepada operasi PBB daripada bidang kuasa tempatan.
“Kira-kira 800 kanak-kanak terjejas secara langsung oleh arahan penutupan itu dan berkemungkinan akan terlepas untuk menamatkan sesi persekolahan mereka,” katanya.
Aktivis dan wartawan Al Jazeera, Nour Odeh memaklumkan, penutupan sekolah-sekolah UNRWA amat membimbangkan kerana kanak-kanak berkemungkinan besar akan ditempatkan di institusi kendalian Israel di bawah pentadbiran Perbandaran Baitulmuqaddis.
Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang dimasukkan ke sekolah-sekolah Israel tidak lagi akan dapat mengikuti sukatan pelajaran yang disediakan untuk penduduk Palestin.
“Ia adalah kurikulum yang dikendalikan oleh Israel yang secara jelas mengabaikan dan memadam identiti Palestin,” katanya.
UNRWA kini menyediakan bantuan kemanusiaan kepada kira-kira 750,000 rakyat Palestin.
Abir berkata, agensi bantuan itu mengekalkan komitmen untuk terus menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada pelarian Palestin di Baitulmuqaddis Timur, termasuk tahun akademik semasa.
Namun, Israel menuduh kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan yang diketuai Hamas terhadap selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang dinafikan setegas-tegasnya oleh PBB.
Susulan tuduhan itu, Parlimen Israel meluluskan dua undang-undang yang melarang UNRWA daripada menjalankan aktiviti dalam sempadannya, yang berkuat kuasa sejak Januari lalu.










