BEIJING: Seorang angkasawan Pakistan bakal mencipta sejarah sebagai warga asing pertama yang dihantar ke Stesen Angkasa Tiangong milik China, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Beijing memperluas kerjasama angkasa lepas antarabangsa.
Misi itu dijangka mengeratkan lagi hubungan strategik kedua-dua negara tersebut dalam bidang teknologi angkasa kerana pada tahun lalu, Pakistan turut menghantar satelit ke Bulan menggunakan kapal angkasa China bersama beberapa muatan dari Agensi Angkasa Eropah (ESA), Perancis dan Itali.
Stesen Angkasa Tiangong merupakan satu daripada dua stesen angkasa aktif, selain Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dilancarkan pada 1998 dan sejak mula beroperasi pada 2021, Tiangong hanya menjadi tuan rumah kepada angkasawan China.
Agensi Angkasa Lepas China memaklumkan angkasawan Pakistan yang akan dipilih bakal bertindak sebagai pakar muatan, yang bertanggungjawab menjalankan tugasan harian serta eksperimen sains bagi pihak Pakistan.
Timbalan Pengarah Agensi Angkasa Pakistan (SUPARCO), Amjad Ali menyifatkan perkembangan itu sebagai satu pencapaian besar bagi negaranya yang sedang memperkukuh semula program angkasa yang telah berusia lebih 60 tahun.
“Ia sangat penting buat Pakistan kerana ini merupakan kali pertama China membawa serta angkasawan dari negara asing dalam misi mereka,” katanya.
Jelasnya, pihaknya akan menyediakan senarai lima hingga 10 calon dalam tempoh sebulan untuk dipertimbangkan oleh China sebelum dipendekkan kepada dua calon akhir.