SANAA: Kumpulan Houthi di Yemen berazam akan meneruskan serangan di Laut Merah dan Laut Arab beberapa jam selepas serangan udara disyaki dilancarkan Amerika Syarikat (AS) di bandar Saada mengorbankan lebih 68 migran Afrika dan mencederakan 47 yang lain.
Menurut kumpulan itu, serangan udara AS mengenai pusat tahanan yang menempatkan lebih 100 migran Afrika di bandar berkenaan.
Kumpulan disokong Iran yang menguasai barat laut Yemen itu mendakwa pusat tahanan tersebut berada di bawah pengawasan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Palang Merah, dan menyerangnya merupakan jenayah perang sepenuhnya.
Tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah korban, namun IOM yang juga agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan ramai migran dipercayai terbunuh atau cedera dan menggambarkan kejadian ini sebagai tragedi.
“Amat penting agar semua usaha dilakukan untuk mengelakkan kecederaan terhadap orang awam dan melindungi golongan paling terdedah dalam situasi mencabar ini,” menurut kenyataan IOM, namun tentera AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
AS melancarkan serangan hampir setiap hari terhadap Houthi sejak 15 Mac dalam operasi ‘Rough Rider’ bagi menghapuskan ancaman terhadap kapal di Laut Merah dan Teluk Aden.
Houthi mula menyerang kapal Israel dan Barat di Laut Merah pada Oktober 2023 sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.
Serangan terbaharu Houthi pada Sabtu lalu mensasarkan pangkalan udara Nevatim Israel menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik Palestine-2, yang berjaya ditangkis pertahanan Israel.
Rakaman grafik yang disiarkan saluran satelit al-Masirah milik Houthi menunjukkan mayat dan yang cedera di pusat tahanan selepas serangan malam Ahad.
Yemen sudah lama menjadi negara transit utama bagi migran dari Afrika terutamanya Ethiopia dan Somalia yang cuba ke Arab Saudi dan Oman. -AGENSI