48 destinasi pelancongan di Kashmir ditutup, India-Pakistan kembali tegang - Utusan Malaysia

48 destinasi pelancongan di Kashmir ditutup, India-Pakistan kembali tegang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRINAGAR: Sebanyak 48 daripada 87 destinasi pelancongan di wilayah bergolak Kashmir ditutup kepada orang ramai bermula Selasa sebagai langkah memperketat kawalan keselamatan susulan insiden serangan berdarah terhadap pelancong minggu lalu.

Menurut dokumen kerajaan yang diperoleh media, penutupan itu dilaksanakan oleh kerajaan wilayah Jammu dan Kashmir, India, selepas kejadian di Pahalgam yang menyaksikan 26 orang terbunuh, termasuk pelancong beragama Hindu.

Saksi dan pegawai keselamatan memaklumkan, penyerang yang dipercayai tiga orang telah menyasarkan lelaki, meminta nama mereka dan melepaskan tembakan jarak dekat terhadap mangsa beragama Hindu.

Kerajaan India sudah mengenal pasti dua daripada suspek sebagai ‘pengganas’ yang berpangkalan di Pakistan dan terlibat dalam pemberontakan bersenjata di wilayah majoriti Muslim itu.

Bagaimanapun, Pakistan menafikan sebarang penglibatan dan mendesak siasatan bebas dijalankan.

India yang majoriti penduduknya beragama Hindu sudah lama menuduh Pakistan menyokong kegiatan militan di Kashmir, satu wilayah yang dituntut oleh kedua-dua negara tersebut, namun ditadbir secara berasingan.

Islamabad pula menegaskan sokongannya hanya bersifat moral dan diplomatik terhadap perjuangan rakyat Kashmir untuk menentukan nasib sendiri.

Ketegangan antara dua kuasa nuklear itu kembali memuncak sejak kejadian serangan tersebut, dengan pelbagai tindakan balas diambil oleh kedua-dua pihak diantaranya ialah India bertindak menggantung Perjanjian Air Indus perjanjian penting pembahagian sungai manakala Pakistan menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan India.

Tiada tempoh ditetapkan bagi penutupan destinasi pelancongan tersebut, namun menurut dokumen berkenaan, kawalan keselamatan di lokasi yang masih dibuka juga telah diperketat.

Wilayah Kashmir yang terletak di banjaran Himalaya dengan pemandangan gunung ganang yang indah dan taman-taman era Mughal, sebelum ini semakin menjadi tumpuan pelancong ekoran kemerosotan angka keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun, serangan di Pahalgam itu menimbulkan suasana panik dan mendorong ramai pelancong untuk bergegas pulang meskipun musim pelancongan baru sahaja bermula. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya