Zahir kekecewaan, belia Indonesia lancar #KaburAjaDulu

Belia Indonesia lancar #KaburAjaDulu

PENUNJUK perasaan memegang plakad menuntut kerajaan meneliti semula dasar-dasar yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di Jakarta pada 21 Februari lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sejak awal bulan lalu, tanda pagar #KaburAjaDulu menjadi topik perbincangan hangat dalam media sosial Indonesia bagi menzahirkan kekecewaan golongan muda negara itu yang semakin tertekan dengan isu peluang pekerjaan, pendidikan serta kualiti kehidupan seharian mereka yang semakin merudum.

Tanda pagar tersebut tidak hanya mencerminkan keinginan untuk ‘melarikan diri’ dari situasi semasa yang dirasa tidak menguntungkan, tetapi juga menggambarkan fenomena meningkatnya minat generasi muda dan golongan profesional Indonesia untuk mencari kehidupan yang lebih baik di luar negara.

Banyak pengguna media sosial yang menggunakan tanda pagar ini untuk berkongsi pengalaman tentang kehidupan mereka di luar negara seperti Malaysia, Singapura, India, Jepun dan Dubai.

Seorang tutor persendirian Indonesia, Patricia yang telah mempelajari bahasa Jerman selama dua tahun, memasang impian untuk berhijrah ke Eropah selepas harapannya untuk mengembangkan sayap dalam kerjaya semakin pudar di tanah air.

Dia adalah seorang daripada ribuan rakyat Indonesia dalam media sosial yang mempromosikan tanda pagar popular yang boleh diterjemahkan sebagai ‘mari kita lari buat sementara waktu’.

“Setelah bekerja bertahun-tahun, pendapatan saya masih sama. Sedangkan keperluan saya semakin meningkat.

“Saya tidak memiliki rumah atau kereta. Jika saya terus bekerja dalam situasi seperti ini, mungkin tidak akan pernah cukup,” kata wanita berusia 39 tahun di ibu kota Jakarta.

Dalam tempoh sebulan, tanda pagar itu semakin popular dan disebut ribuan kali hingga mencapai lebih daripada 65 juta akaun di laman X, menurut firma analitik Brand24.

Fenomena ini berlaku serentak dengan protes yang dipimpin oleh pelajar terhadap pemotongan bajet besar-besaran oleh Presiden baharu, Prabowo Subianto.

Penjimatan bajet telah disalurkan ke dalam dana kekayaan berdaulat bernilai berbilion dolar yang melapor terus kepada bekas jeneral itu.

MAHU BERHIJRAH

Menurut angka terkini daripada agensi statistik negara, terdapat hampir 7.5 juta penganggur di Indonesia pada Ogos 2024.

Keadaan ini telah membangkitkan kemarahan terhadap kualiti hidup yang rendah, dengan jurang antara golongan kaya dan miskin semakin melebar serta kelas pertengahan semakin terhimpit.

“Selepas banyak dasar yang pelik dan perubahan presiden, saya kini berasa perlu berpindah ke luar negara. Ia sudah menjadi satu keperluan utama.

“Saya benar-benar merasakannya. Saya tidak mendapat bantuan sosial dan wang saya sangat terhad. Bekerja hanya untuk terus hidup dari hari ke hari, bulan ke bulan, bukannya bekerja dengan penuh semangat,” kata pekerja teknologi, Chyntia Utami yang berusia 26 tahun di Jakarta.

Sebahagian rakyat Indonesia sanggup mengambil pekerjaan fizikal yang lebih berat di luar negara demi keluar dari situasi ini.

Randy Christian Saputra, 25 tahun, meninggalkan kerja pejabat di sebuah firma perundingan multinasional untuk melakukan kerja buruh di sebuah ladang tomato di Australia.

Taraf hidup yang rendah di Jakarta juga mendorong ramai untuk berhijrah.

“Semakin lama saya tinggal di Jakarta, semakin sukar kerana pencemaran atau kesesakan lalu lintas. Ia lebih kepada kualiti hidup,” kata Favian Amrullah, seorang jurutera perisian berusia 27 tahun yang akan berhijrah ke sebuah syarikat teknologi di Amsterdam pada April.

Beberapa syarikat asing cuba mengambil kesempatan daripada trend ini, termasuk firma perekrutan Jepun yang mempromosikan peluang pekerjaan dalam talian untuk menarik tenaga kerja berbakat.

Pakar mengatakan majoriti rakyat Indonesia menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan perasaan dan penggunaan tanda pagar yang semakin meluas itu mencetus kebimbangan baharu.

“Ini menunjukkan emosi masyarakat. Tanda pagar ini menonjolkan kebimbangan ma­syarakat terhadap pekerjaan dan nepotisme serta dasar awam yang sambil lewa,”kata Profesor Madya Universiti Monash Indonesia, Ika Karlina Idris.

Terdapat juga laporan mendakwa penyokong Prabowo menyebarkan maklumat palsu untuk merosakkan kredibiliti para penunjuk perasaan yang menyertai protes ‘Indonesia Gelap’ di seluruh negara bulan lalu bagi mempamer gelombang ketidakpuasan rakyat terhadap keadaan semasa di Indonesia.

Dalam beberapa minggu terakhir, pasukan Semakan Fakta AFP menemui lebih 12 video TikTok yang mendakwa para penunjuk perasaan pelajar telah dibayar, dengan jumlah tontonan melebihi lapan juta.

Pencipta kandungan pro-kerajaan dan pro-Prabowo kemudian memuat naik video reaksi untuk memperbesar penyebaran maklumat tersebut di YouTube dan TikTok, mengumpulkan lebih daripada dua juta tontonan, menurut laporan Semakan Fakta AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN