WASHINGTON: Seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam kumpulan sembang melibatkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, Naib Presiden, JD Vance dan pegawai tinggi lain yang membincangkan serangan terhadap pemberontak Houthi di Yemen.
Ketua pengarang majalah The Atlantic, Jeffrey Goldberg, mendedahkan beliau menerima maklumat awal beberapa jam sebelum serangan melalui kumpulan sembang di aplikasi Signal.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Brian Hughes mengesahkan urutan mesej yang dilaporkan adalah sahih, dan pihaknya sedang menyemak punca nombor yang tidak disengajakan boleh dimasukkan ke dalam kumpulan sembang itu.
Rumah Putih berkata, Trump menaruh keyakinan penuh terhadap pasukan keselamatan negara, selepas Presiden AS itu mendakwa ‘tidak tahu apa-apa’ mengenai isu tersebut.
Hegseth, yang tiada pengalaman mengendalikan organisasi besar seperti Pentagon, enggan bertanggungjawab atas pelanggaran keselamatan itu ketika bercakap kepada pemberita kelmarin.
Sebaliknya, beliau menyerang Goldberg dan menegaskan tiada siapa yang menghantar rancangan perang melalui mesej, walaupun Rumah Putih mengesahkan pelanggaran tersebut.
Goldberg mendakwa, Hegseth menghantar maklumat mengenai serangan, termasuk sasaran, senjata yang akan digunakan AS dan urutan serangan kepada kumpulan sembang itu.
“Menurut teks Hegseth yang panjang lebar, letupan pertama di Yemen akan dirasai dua jam kemudian pada 1.45 petang waktu timur,” tulis Goldberg.
Wartawan itu berkata, beliau dimasukkan ke dalam kumpulan sembang tersebut dua hari sebelumnya dan menerima mesej daripada pegawai tinggi kerajaan lain yang menamakan wakil mereka untuk menangani isu tersebut.
Kebocoran maklumat itu boleh membawa kesan yang sangat bahaya sekiranya Goldberg mendedahkan butiran rancangan lebih awal, tetapi beliau berbuat demikian selepas serangan berlaku.– AGENSI











