Wanita ditahan terlibat sindiket jual 56 buah pinggang

Wanita ditahan terlibat sindiket jual 56 buah pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARSAW: Pihak berkuasa sempadan Poland menahan seorang wanita Ukraine yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Kazakhstan kerana terlibat dalam kumpulan jenayah terancang memperdagangkan organ manusia dan menjual 56 buah pinggang, lapor pihak pendakwa raya semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu, dikenali sebagai Ksenia P. ditahan di lintasan kereta api antara Poland dan Ukraine di bawah notis merah Interpol, menurut jurucakap pejabat pendakwa raya di Przemysl, Marta Petkowska dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pihak pendakwa raya tidak menyatakan mengapa wanita itu tidak berada dalam penjara di Kazakhstan ketika dia ditahan atau bila dia disabitkan kesalahan.

Menurut pendakwa raya, Ksenia telah diburu sejak November 2020 dan notis merah Interpol merupakan permintaan kepada pihak penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk menahan seseorang buat sementara waktu bagi tujuan ekstradisi atau tindakan undang-undang lain.

Petkowska menjelaskan wanita tersebut didapati bersalah kerana menyertai kumpulan jenayah terancang antarabangsa yang secara haram mengumpul tisu dan organ manusia dari tahun 2017 hingga 2019 untuk dijual di pasaran gelap.

“Dia turut disabitkan kesalahan mendapatkan buah pinggang secara haram daripada 56 mangsa di Kazakhstan, Armenia, Azerbaijan, Ukraine, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, dan Thailand bagi tujuan keuntungan kewangan serta menjadikan jenayah ini sebagai sumber pendapatan tetap,” katanya.

Pihak pendakwa raya telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk mengenakan tahanan sementara selama seminggu bagi membolehkan wanita itu diekstradisi ke Kazakhstan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN