Vietnam siasat patung mainan 'tular' sebar propaganda China

Vietnam siasat patung mainan ‘tular’ sebar propaganda China

SEORANG penjual menunjukkan anak patung Baby Three dengan tanda di pipinya menyerupai peta tuntutan yang tidak diiktiraf di Laut China Selatan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Jualan patung mainan popular di Vietnam merudum selepas disiasat pihak berkuasa berikutan dakwaan reka bentuknya mirip peta garis tuntutan kontroversi di Laut China Selatan.

Patung Baby Three yang dihasilkan di China sebelum ini mencetuskan fenomena dalam kalangan kanak-kanak dan generasi muda Vietnam sejak September lalu. 

Dalam tempoh empat bulan pertama, patung tersebut mencatat jualan mencecah AS$1.6 juta (RM7.07 juta).

Namun, kebangkitan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat Vietnam mengundang boikot besar-besaran apabila timbul dakwaan corak berbentuk hati pada wajah patung itu menyerupai tuntutan Nine Dash Line atau `Sembilan Garis Putus’, peta yang digunakan Beijing untuk menegaskan penguasaannya ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan.

Tuntutan itu telah pun ditolak oleh Tribunal Antarabangsa di The Hague yang mengisytiharkan ia tidak sah, namun Beijing tetap menafikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap tersebut. 

Vietnam, bersama beberapa negara lain, turut menentang tuntutan China itu.

Rentetan kontroversi tersebut, Kementerian Industri dan Perdagangan Vietnam mengarahkan pemeriksaan ke atas mainan yang dikatakan memaparkan simbol itu, dengan alasan ia boleh menjejaskan keselamatan negara serta kedaulatan wilayah.

Tindakan itu menyebabkan para peniaga memperlahankan atau menghentikan terus penjualan patung berkenaan. 

Data analisis e-dagang yang dipetik media negara itu menunjukkan harga purata Baby Three di Shopee dan TikTok Shop merosot hampir separuh dalam tempoh 10 minggu pertama tahun ini.

Pihak berkuasa Vietnam sebelum ini telah mengambil tindakan keras terhadap sebarang paparan peta tuntutan tersebut dalam mana-mana produk dan budaya. 

Pada tahun 2023, filem Barbie diharamkan daripada tayangan di pawagam Vietnam selepas satu babak memaparkan peta yang didakwa menggambarkan tuntutan China itu.

Pada tahun sama, kerajaan Vietnam turut mengarahkan Netflix membuang sebuah siri China yang memaparkan peta kontroversi itu secara berulang kali manakala pada tahun 2022, filem Uncharted lakonan Tom Holland, Mark Wahlberg dan Antonio Banderas turut diharamkan atas alasan sama. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN