JAKARTA: Lebih 200 juta umat Islam Indonesia mula berpuasa hari ini, selepas Kementerian Agama menetapkan 1 Ramadan 1446 Hijrah jatuh pada Sabtu.
Keputusan itu diumumkan Menteri Agama Indonesia, Nasaruddin Umar, selepas sesi sidang penetapan yang melibatkan wakil pertubuhan Islam, Badan Meteorologi, Klimatogoli dan Geofizika (BMKG), anggota kerajaan serta Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN).
Penetapan dibuat berdasarkan cerapan rukyatul hilal di 125 lokasi di seluruh Indonesia dan seiring dengan keputusan Pengurus Pusat Muhammadiyah yang menggunakan kaedah Kalendar Hijriah Global Tunggal (KHGT).
Ambang cerapan hilal, dengan ketinggian minimum tiga darjah dan sudut pemanjangan minimum 6.4 darjah, ditetapkan mengikut konsensus menteri hal ehwal agama Brunei Darrussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS), katanya.
Bagaimanapun, Nasaruddin menjelaskan, penetapan hari pertama Ramadan di Indonesia mungkin berbeza dengan Singapura dan Brunei kerana perbezaan hasil cerapan anak bulan.
Sempena kedatangan Ramadan, beliau turut berharap umat Islam Indonesia memfokuskan kepada ibadan dan menyuburkan hubungan sesama manusia.
“Ramadan bukan sahaja menyuburkan hubungan antara manusia dan Tuhan, tetapi juga menekankan sifat belas kasihan terhadap sesama manusia.
“Seorang Muslim tidak hanya fokus kepada Tuhan tetapi juga harus peduli terhadap sesama manusia dan alam sekitar,” katanya.
Selain Indonesia, Turkiye dan negara Arab turut menyambut 1 Ramadan hari ini, selepas mengumumkan penampakan anak bulan semalam.
Manakala, umat Islam di Singapura, Thailand, Kemboja dan Malaysia akan mula berpuasa esok.– AGENSI










