Turkiye tahan 37 individu isu penahanan Datuk Bandar Istanbul

Turkiye tahan 37 individu isu penahanan Datuk Bandar Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Pihak berkuasa Turkiye menahan 37 individu yang didakwa menyebarkan hantaran provokatif di media sosial berhubung penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu.

Imamoglu, seteru utama Presiden, Recep Tayyip Erdogan, ditahan pada Rabu atas tuduhan rasuah serta membantu kumpulan pengganas, dakwaan yang dinafikannya.

Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata, sebanyak 18.6 juta hantaran mengenai Imamoglu dikongsi di platform media sosial X dalam tempoh 24 jam selepas penahanannya.

“Sebanyak 261 akaun telah dikenal pasti menyebarkan hantaran provokatif yang mencetuskan kebencian awam serta menggalakkan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di X.

Operasi polis berjaya menahan 37 individu setakat ini, manakala usaha memburu suspek lain masih diteruskan, tambahnya.

Sementara itu, penahanan Imamoglu mencetuskan gelombang protes di beberapa bandar utama, termasuk di kampus-kampus universiti walaupun kerajaan telah mengenakan larangan perhimpunan selama empat hari.

Lapor Al Jazeera, selain larangan demonstrasi, pihak berkuasa turut menutup beberapa jalan utama serta mengehadkan akses ke platform media sosial tertentu.

Penahanan Imamoglu dilihat sebagai satu tindakan politik menjelang pemilihan pemimpin baharu Parti Republikan Rakyat (CHP) Ahad ini, di mana beliau dijangka dinamakan sebagai calon Presiden parti itu menentang Erdogan pada pilihan raya akan datang.

Lebih membimbangkan, tuduhan keganasan yang dikenakan ke atas Imamoglu boleh membuka ruang untuk kerajaan melantik pentadbir baharu bagi menggantikannya, sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini.

Turkiye dijadualkan mengadakan pilihan raya Presiden seterusnya pada 2028, namun spekulasi mengenai pilihan raya awal semakin kuat susulan ketegangan politik yang semakin memuncak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN