WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ‘menyokong sepenuhnya’ Israel menyambung semula serangan udara dan operasi darat di Gaza.
Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kelmarin, sambil menyalahkan pejuang Hamas terhadap keganasan tersebut.
“Beliau menyokong sepenuhnya Israel dan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) serta tindakan mereka dalam beberapa hari terakhir.
“Presiden dengan jelas memberi amaran kepada Hamas bahawa jika mereka tidak membebaskan semua tebusan, ia akan menghadapi akibat besar. Malangnya, Hamas memilih untuk bermain propaganda di media dengan nyawa manusia,” kata Leavitt.
Beliau turut menuduh Hamas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keganasan di Gaza ekoran serangan 7 Oktober 2023, selain menekankan desakan Trump untuk semua tebusan Israel dibebaskan.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 504 orang terbunuh dalam serangan Israel setakat ini, termasuk hampir 200 kanak-kanak.
Israel menyambung semula kempen ketenteraan di Gaza pada Selasa menerusi gelombang serangan dahsyat, yang memecahkan tempoh bertenang selepas gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
Hamas memaklumkan pasukannya melancarkan roket ke arah pusat komersial Israel di Tel Aviv kelmarin, sebagai tindak balas ketenteraan pertama terhadap peningkatan jumlah kematian orang awam.
Israel pula mengumumkan menutup laluan utama utara-selatan Gaza ketika pasukan tentera turut memperluaskan operasi darat yang disambung semula pada Rabu lalu.- AFP










