Trump potong dana Universiti Columbia, dakwa amal anti-semitisme

Trump potong dana Universiti Columbia, dakwa amal anti-semitisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memotong geran persekutuan berjumlah AS$400 juta (RM1.76 bilion) kepada Universiti Columbia dengan alasan universiti itu gagal melindungi pelajar Yahudi daripada gangguan semasa protes menentang serangan Israel di Gaza.

Empat agensi kerajaan menerusi kenyataan pada Jumaat berkata, mereka memansuhkan serta-merta geran dan kontrak persekutuan kepada Universiti Columbia kerana kegagalan universiti itu menangani gangguan berterusan terhadap pelajar Yahudi.

Minggu ini, Trump mengancam untuk memotong dana kepada institusi yang membenarkan protes haram sebagai sebahagian daripada usahanya menghentikan aliran dana persekutuan kepada sistem pendidikan negara.

Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, kampus-kampus di AS termasuk Columbia mengadakan protes pelajar menentang perang Israel di Gaza dan ia telah mencetuskan tuduhan anti-semitisme.

Beberapa protes bertukar ganas, dengan bangunan kampus diambil alih dan kuliah diganggu, mencetuskan ketegangan antara pelajar yang menentang tindakan Israel dan penyokong yang kebanyakannya Yahudi.

Seorang jurucakap Universiti Columbia berkata, pihaknya sedang meneliti pengumuman agensi persekutuan dan berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memulihkan dana persekutuan universiti.

“Kami mengambil serius tanggungjawab undang-undang Columbia dan komited untuk memerangi anti-semitisme serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar, fakulti dan kakitangan kami,” katanya.

Protes berterusan di Universiti Columbia minggu ini dengan lebih 200 penyokong Palestin membantah kehadiran bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett yang hadir untuk satu sesi ceramah.

Trump telah menulis di platform Truth Social bahawa semua dana persekutuan akan diberhentikan untuk mana-mana kolej, sekolah, atau universiti yang membenarkan protes haram.

Beliau juga mengancam untuk memenjarakan atau menghantar pulang ‘pengacau’ ke negara asal mereka, serta mengusir pelajar AS yang terlibat.

Pofesor madya di Universiti Columbia, Joseph Howley berharap universiti itu akan mencabar keputusan pemotongan dana di mahkamah sambil menambah universiti telah berusaha keras menangani diskriminasi dan gangguan, tetapi kerajaan membuat tuntutan tanpa sebarang keputusan undang-undang.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Pentadbiran Am AS menyebut, pemotongan dana ini adalah tindakan pertama dan lebih banyak pemansuhan dana persekutuan bernilai AS$5 bilion (RM22 bilion) kepada Universiti Columbia dijangka akan menyusul.

Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon berkata, sejak 7 Oktober, pelajar Yahudi berdepan keganasan, intimidasi dan gangguan anti-semitisme di kampus tetapi diabaikan oleh pihak yang sepatutnya melindungi mereka.

Beliau menegaskan bahawa universiti mesti mematuhi undang-undang anti-diskriminasi persekutuan untuk menerima dana dan Columbia telah lama mengabaikan tanggungjawab ini.

Bulan lalu, Jabatan Kehakiman mengumumkan penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi untuk memerangi anti-semitisme, dengan fokus pertama menghapuskannya di sekolah dan kampus.

Dua ahli kongres New York, Jerrold Nadler dan Adriano Espaillat, mengkritik tindakan Trump bahawa pemotongan dana ini tidak melindungi pelajar Yahudi sebaliknya merosakkan masa depan akademik mereka.

Mereka turut menuduh pentadbiran Trump tidak serius dalam memerangi anti-semitisme, memetik kehadiran individu yang didakwa anti-semit dalam pentadbiran AS.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN