WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump mengemukakan rayuan tergempar kepada Mahkamah Agung kelmarin, bagi meneruskan rancangan untuk menamatkan hak kewarganegaraan kelahiran automatik, walaupun dasar itu ditolak oleh beberapa mahkamah rendah.
Dalam satu siri rayuan itu, pentadbiran Trump berhujah bahawa mahkamah rendah bertindak keterlaluan dengan mengeluarkan injunksi di seluruh negara yang menghalang dasar kontroversi tersebut, sekali gus meminta hakim mengehadkan kesan perintah berkenaan.
Seorang hakim persekutuan pada Januari menyifatkan perintah eksekutif Trump sebagai ‘jelas tidak berperlembagaan’ dan menyekat pelaksanaannya.
Beberapa hari kemudian, seorang hakim di Maryland berkata, rancangan Trump bertentangan dengan sejarah 250 tahun negara itu mengenai kewarganegaraan melalui kelahiran.
Sebelum ini, mahkamah rayuan menolak permintaan pentadbiran Trump untuk menggantung keputusan mahkamah rendah yang mengenakan injunksi di seluruh negara terhadap perintah eksekutif itu.
Selama lebih 150 tahun, mahkamah memahami teks Pindaan Ke-14 sebagai jaminan kewarganegaraan kepada sesiapa sahaja yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS), tanpa mengira status imigresen ibu bapa mereka.
Keputusan penting Mahkamah Agung pada 1989 mengesahkan tafsiran undang-undang itu, dan mahkamah moden belum menunjukkan keinginan untuk mengkaji semula keputusan tersebut.
Namun, sesetengah konservatif berhujah bahawa tafsiran itu salah kerana Pindaan Ke-14 mengandungi frasa yang menyatakan manfaat tersebut hanya terpakai untuk individu yang ‘tertakluk kepada bidang kuasa’ AS.
Menurut hujah itu, pendatang yang berada di AS secara tidak sah masih tertakluk kepada bidang kuasa negara asal mereka.
TAFSIRAN SALAH CABANG EKSEKUTIF
Mahkamah di Maryland, Massachusetts dan Washington mengeluarkan injunksi untuk menghalang pelaksanaan perintah eksekutif Trump atas permintaan lebih daripada 20 negeri, dua kumpulan hak imigran dan tujuh plaintif individu.
“Perintah eksekutif presiden ini jelas melanggar undang-undang dan kejam, ia tidak seharusnya dikenakan kepada seorang pun bayi di negara ini.
“Kami akan terus berjuang untuk memastikan tiada kanak-kanak dinafikan kewarganegaraan mereka oleh perintah eksekutif ini,” kata Timbalan Pengarah Projek Hak Imigran, Cody Wofsy kepada CNN.
Rayuan Trump kepada Mahkamah Agung tidak secara langsung mempertikaikan perlembagaan dasar itu, sebaliknya meminta mahkamah mengehadkan skop injunksi yang dikeluarkan.
Bagaimanapun, permintaan tersebut penting kerana jika Mahkamah Agung bersetuju, ia akan membenarkan pentadbiran menguatkuasakan perintah eksekutif terhadap individu tidak dilindungi dalam litigasi yang sedang berlangsung.
“Pengeluaran injunksi secara menyeluruh mencapai tahap yang membimbangkan sejak bermulanya pentadbiran ini.
“Injuksi ini menghalang perintah eksekutif yang dikeluarkan pada hari pertama dikuat kuasa di seluruh negara terhadap ratusan ribu individu yang tidak dibicarakan atau dikenal pasti oleh mahkamah,” kata Jabatan Kehakiman dalam rayuannya kepada Mahkamah Agung.
Sebagai alternatif, pentadbiran Trump memintah mahkamah sekurang-kurangnya membenarkan ia mengeluarkan panduan mengenai pelaksanaan dasar tersebut.
Walaupun rayuan itu tertumpu pada keputusan mahkamah rendah yang menghalang perintah eksekutif, Jabatan Kehakiman turut mengemukakan hujah merit bagi menjelaskan pandangan konvensional mengenai kewarganegaraan secara kelahiran automatik adalah salah.
“Sepanjang abad ke-20, cabang eksekutif mengambil pendirian salah dengan menganggap klausa kewarganegaraan meliputi hampir semua individu yang lahir di AS, termasuk anak pendatang tanpa izin atau mereka yang tinggal sementara,” kata pentadbiran Trump kepada mahkamah.
Pentadbiran itu juga mendakwa, dasar kewarganegaraan secara kelahiran automatik yang hampir universal dilihat sebagai dorongan kuat kepada pendatang haram.
Mahkamah Agung dijangka menetapkan jadual taklimat yang memerlukan pihak pencabar untuk memberi maklum balas segera, berkemungkinan dalam tempoh beberapa hari akan datang.










