Tentera Israel mengaku serang bangunan Palang Merah di Rafah

Tentera Israel mengaku serang bangunan Palang Merah di Rafah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel mengaku pasukannya telah melepaskan tembakan ke arah bangunan milik Palang Merah di bandar Rafah, selatan Gaza, pada petang Isnin.

Dalam satu kenyataan, pihak tentera rejim itu menjelaskan bahawa pasukan yang beroperasi di Rafah melepaskan tembakan ke bangunan berkenaan lebih awal pada hari itu setelah mengenal pasti suspek dan merasakan ancaman terhadap pasukan.

Menurut kenyataan itu, tiada kecederaan dilaporkan walaupun bangunan tersebut mengalami kerosakan kecil,

“Selepas pemeriksaan, pengesanan sasaran tidak tepat dan bangunan tersebut milik Palang Merah,” akui tentera Israel, sambil menambah kejadian itu akan disiasat.

Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas pasukan Israel menyerang sebuah bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengakibatkan seorang pekerja terbunuh dan lima lagi cedera.

Sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula Oktober 2023, pekerja bantuan dari pelbagai organisasi telah berulang kali menjadi sasaran.

Walaupun dalam serangan terbaru ini tentera mendakwa pasukannya tidak menyedari status bangunan tersebut, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) membalas di laman X bahawa pejabatnya di Rafah mengalami kerosakan akibat peluru berpandu letupan walaupun bangunan itu jelas ditanda dan telah dimaklumkan kepada semua pihak.

Meskipun tiada kakitangan yang cedera, serangan itu memberi kesan langsung kepada kemampuan ICRC untuk beroperasi, menurut kumpulan itu.

Palang Merah mengutuk keras serangan tersebut dan menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa memberi perlindungan khas kepada kakitangan bantuan kemanusiaan dan perubatan, kemudahan perubatan, serta objek yang digunakan untuk operasi bantuan kemanusiaan.

“Mereka mesti dihormati dan dilindungi dalam semua keadaan untuk memastikan kesinambungan rawatan,” tambahnya.

Tentera Israel melancarkan kempen udara mengejut ke atas Gaza pada 18 Mac lalu, membunuh sekurang-kurangnya 730 orang dan mencederakan hampir 1,200 yang lain walaupun gencatan senjata dan pertukaran tawanan telah dipersetujui pada Januari.

Lebih 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 113,200 lagi cedera dalam serangan ganas tentera Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berikutan perangnya di wilayah tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN