Tarif import kenderaan: Harga kereta boleh naik serta-merta

Tarif import kenderaan: Harga kereta boleh naik serta-merta

KERETA Subaru keluaran model baharu diletakkan di tempat penyimpanan di Auto Warehouse Co. di Richmond, California. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DETROIT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kegusaran global apabila mengumumkan tarif 25 peratus ke atas import kereta, kelmarin.

Langkah terbaharu itu mendorong pembuat kereta global memberi amaran mengenai kenaikan harga serta-merta dan peniaga meramalkan kehilangan pekerjaan di negara pengeluar utama, yang kebanyakan merupakan sekutu AS.

Levi baharu itu adalah pelopor kepada satu lagi pusingan tarif AS yang dijangka dilaksanakan minggu depan.

Tarif kereta sahaja boleh menambah beribu-ribu dolar dalam kos purata kenderaan di AS dan seterusnya menjejaskan permintaan ketika sektor itu sudah pun bergelut untuk menguruskan peralihan kepada kereta elektrik.

Kebanyakan saham kereta merosot pada Khamis, dengan pembuat kenderaan elektrik AS, Tesla, menunjukkan prestasi berbeza daripada banyak syarikat dalam industri tersebut.

Saham General Motors jatuh hampir tujuh peratus pada petang kelmarin, manakala Ford Motor dan Stellantis yang disenaraikan di AS turun sekitar tiga peratus.

Bagaimanapun, saham Tesla meningkat sekitar lima peratus, kerana syarikat Elon Musk itu kurang terdedah kepada tarif berbanding pesaingnya.

“Seluruh industri automotif, rantaian bekalan global, syarikat dan pelanggan akan terpaksa menanggung kesan negatif ini,” kata Volkswagen dari Jerman dalam satu kenyataan.

AS PENGIMPORT TERBESAR

AS adalah pengimport terbesar dunia untuk kereta, kebanyakannya dari Jepun, Korea Selatan dan Jerman, bersama kenderaan dari jiran seperti Kanada serta Mexico.

Menurut firma penyelidikan, GlobalData, hampir separuh daripada semua kereta yang dijual di AS tahun lepas adalah import.

Industri automotif Eropah meminta perjanjian transatlantik untuk mengelakkan tarif tersebut.

Jenama besar seperti Volkswagen, BMW, Mercedez-Benz, Porsche dan Continental kehilangan AS$5.93 bilion (RM26.2 bilion) dalam nilai pasaran gabungan pada Khamis.

Kini, pembuat kereta terpaksa membuat keputusan sama ada untuk memindahkan lebih banyak pengeluaran ke AS, menanggung kos tarif atau melepaskannya kepada pengguna.

Beberapa syarikat, termasuk Volvo Cars, Audi milik Volkswagen, Mercedes-Benz dan Hyundai, sudah pun mengumumkan rancangan pemindahan sebahagian pengeluaran mereka.

Ferrari, yang menghasilkan semua keretanya di Itali, pula akan menaikkan harga sehingga 10 peratus untuk beberapa model, manakala pembekal alat ganti kereta Perancis, Valeo, menyatakan ia tiada pilihan selain menaikkan harga.

Sementara itu, kumpulan BLG dari Jerman, penyedia logistik pelabuhan untuk salah satu terminal penghantaran kereta paling sibuk di dunia di Bremerhaven, mengumumkan rancangan pengurangan trafik sebanyak 15 peratus akibat tarif tersebut.

Tarif itu akan berkuat kuasa ke atas kereta mulai 3 April, manakala bagi alat ganti automotif bermula 3 Mei.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN