LOS ANGELES: Sebuah mahkamah di California, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengarahkan rangkaian kopi terkenal, Starbucks, membayar pampasan sebanyak AS$50 juta (RM234 juta) kepada seorang pemandu penghantaran yang mengalami kecederaan melecur teruk akibat penutup cawan minuman panas yang tidak dipasang dengan betul.
Mangsa, Michael Garcia, sedang mengambil pesanan di laluan pandu lalu Starbucks apabila penutup minumannya yang tidak dipasang kemas menyebabkan air kopi tertumpah ke atas paha dan alat sulitnya.
Akibat insiden itu, Garcia mengalami kesan melecur serius, kecacatan, serta kerosakan saraf yang menyakitkan di bahagian tubuhnya.
Peguamnya, Michael Parker, mendakwa dalam tuntutan mahkamah yang difailkan pada tahun 2020 Starbucks gagal mematuhi standard keselamatan apabila pekerjanya tidak memastikan minuman panas itu diletakkan dengan selamat di dalam bekas.
“Ketika Garcia menerima pesanan berisi tiga minuman, satu daripada minuman panas itu tidak diletakkan dengan betul dalam pemegangnya. Minuman itu kemudian jatuh dan mencederakan Garcia,” kata Parker.
Antara kesan yang ditanggung oleh Garcia akibat insiden itu termasuk kesakitan fizikal, tekanan emosi, kecacatan kekal, kegelisahan, serta kehilangan kualiti hidup, menurut keputusan yang diumumkan di Mahkamah Tinggi California.
Bagaimanapun, Starbucks dalam kenyataannya menyatakan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah, sambil menegaskan pampasan yang diberikan kepada Garcia adalah terlalu tinggi dan tidak wajar.
“Kami bersimpati dengan Encik Garcia, namun kami tidak bersetuju dengan keputusan juri mengenai Starbucks harus dipertanggungjawabkan atas kejadian ini. Kami sentiasa menitikberatkan standard keselamatan tertinggi dalam operasi kedai kami, termasuk dalam pengendalian minuman panas,” kata jurucakap syarikat itu.
Insiden ini mengingatkan kepada kes saman terkenal pada tahun 1994 melibatkan sebuah lagi rangkaian makanan segera terkenal, McDonald’s di mana seorang wanita, Stella Liebeck, melecur akibat tumpahan kopi panas dan mengalami luka tahap tiga.
Dalam kes tersebut, McDonald’s diperintah membayar hampir AS$3 juta (RM14 juta) sebagai pampasan.