LONDON: Polis Britain menahan kapten sebuah kapal kargo atas tuduhan menyebabkan kematian akibat kecuaian serius, sehari selepas kapal itu merempuh sebuah kapal tangki yang membawa bahan api jet milik tentera Amerika Syarikat (AS) di perairan timur England.
Dalam kejadian Isnin lalu, kapal tangki Stena Immaculate yang sedang berlabuh dirempuh oleh kapal kargo Solong.
Insiden itu menyebabkan kebakaran besar, letupan dahsyat dan tumpahan bahan api ke laut, sekali gus mengancam hidupan marin di kawasan tersebut.
Seorang kru dari kapal Solong yang berdaftar di Portugal dipercayai telah meninggal dunia, kata Menteri Maritim Britain, Mike Kane di Parlimen.
Pihak berkuasa menyelamatkan 36 individu dari kedua-dua kapal, dan tiada lagi mangsa yang dilaporkan hilang.
“Kami telah menahan seorang lelaki berusia 59 tahun atas tuduhan menyebabkan kematian akibat kecuaian serius berkaitan pelanggaran ini,” kata polis dalam satu kenyataan.
Pemilik kapal, Ernst Russ, mengesahkan lelaki yang ditahan adalah kapten kapal tersebut.
“Kapten kapal dan seluruh pasukan kami sedang memberikan kerjasama penuh dalam siasatan ini,” kata syarikat itu.
Rakaman udara menunjukkan kerosakan besar pada badan kapal Stena Immaculate dengan kesan kebakaran sepanjang kapal itu, meskipun api yang marak sebelum ini telah berjaya dikawal.
Menteri Pengangkutan Britain, Heidi Alexander berkata, kedua-dua kapal dijangka kekal terapung dan kapal Solong boleh ditunda menjauhi pantai untuk operasi menyelamat.
Sehingga kini, punca sebenar bagaimana sistem keselamatan di atas kedua-dua kapal moden itu gagal menghalang pelanggaran masih belum dijelaskan oleh pihak berkuasa maritim dan pengendali kapal.
Jurucakap Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyatakan tiada petunjuk setakat ini yang mengaitkan kejadian itu dengan sebarang unsur sabotaj atau jenayah terancang.
Siasatan rasmi diketuai oleh pihak berkuasa AS dan Portugal sebagai negara bendera kapal yang terlibat, manakala Cawangan Siasatan Kemalangan Marin Britain akan mengumpul bukti awal berhubung insiden ini. -AFP











