WARSAW: Poland telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan latihan ketenteraan bagi semua lelaki dewasa, menurut Perdana Menteri, Donald Tusk.
Dalam ucapan di Parlimen Poland, Tusk berkata, kerajaan sedang merangka butiran lanjut mengenai rancangan tersebut dalam beberapa bulan akan datang.
“Usaha sedang dijalankan untuk menyediakan latihan ketenteraan secara berskala besar untuk setiap lelaki dewasa di Poland.
“Kami akan cuba menyediakan model ini menjelang akhir tahun supaya setiap lelaki dewasa di Poland dilatih sekiranya berdepan ancaman perang serta memiliki tentera simpanan yang mencukupi untuk berdepan potensi ancaman,” katanya.
Tentera Ukraine kini mempunyai 800,000 anggota sementara Russia mempunyai kira-kira 1.3 juta tentera.
Jelas Tusk, beliau mahu meningkatkan saiz tentera Poland, termasuk dalam kalangan anggota simpanan daripada sekitar 200,000 kepada 500,000.
“Kami akan menggunakan beberapa pendekatan termasuk melibatkan anggota simpanan serta latihan intensif untuk memastikan mereka yang tidak memasuki tentera menjadi tentera yang terlatih dan cekap semasa konflik,” katanya.
Tusk juga berkata, wanita mungkin turut dilibatkan dalam latihan ketenteraan, namun menganggap perang masih bidang untuk lelaki.
Perdana Menteri itu juga memaklumkan bahawa kerajaan Poland sedang meneliti cadangan Perancis untuk memasukkan Eropah di bawah perlindungan nuklear mereka.
Tusk menegaskan bahawa Ukraine telah diserang selepas negara itu membuang senjata nuklear mereka, justeru Warsaw ingin memperoleh senjata nuklear mereka sendiri walaupun peluang agak tipis.
“Hari ini, jelas bahawa kita akan lebih selamat jika memiliki senjata nuklear sendiri, itu tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, jalannya akan menjadi sangat panjang dan ia memerlukan konsensus,” jelasnya.
Poland kini merancang untuk membelanjakan 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka untuk pertahanan tahun ini, yang merupakan peratusan tertinggi dalam pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Tusk memberitahu Parlimen bahawa perbelanjaan tersebut seharusnya dinaikkan kepada lima peratus daripada KDNK.
Perdana Menteri turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Poland untuk menarik diri dari konvensyen Ottawa yang melarang penggunaan ranjau darat antipersonel, dan juga kemungkinan menarik diri dari konvensyen Dublin yang melarang penggunaan peluru artileri kluster.
Poland telah meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Mereka telah menandatangani kontrak pembelian senjata bernilai sekitar AS$20 bilion (RM88.27 bilion) dengan Amerika Syarikat (AS) untuk membeli 250 kereta kebal M1A2 Abrams, 32 jet F-35, 96 helikopter Apache, peluru berpandu Javelin, dan sistem roket artileri.
Warsaw juga telah menandatangani kontrak dengan Korea Selatan untuk membeli kereta kebal K2 dan pesawat tempur ringan FA-50.
Kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Poland mengenai keselamatan masa depan mereka susulan keputusan Presiden AS, Donald Trump untuk menggantung bekalan ketenteraan ke Ukraine.
Kebanyakan rakyat Poland percaya bahawa sokongan kepada Ukraine adalah demi kepentingan keselamatan mereka sendiri.-AGENSI










