LISBON: Portugal berdepan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Luis Montenegro, tewas dalam undi tidak percaya di Parlimen.
Undi tidak percaya itu diadakan susulan dakwaan konflik kepentingan membabitkan perniagaan keluarga Montenegro dan usaha saat akhir untuk mengelakkan undi tersebut gagal apabila tiada kata sepakat dicapai bagi menubuhkan jawatankuasa siasatan Parlimen.
Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa kini perlu memutuskan sama ada membubarkan Dewan dan mengadakan pilihan raya baharu.
Montenegro, 52, yang baru memegang jawatan Perdana Menteri kurang daripada setahun, menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.
Parlimen membahaskan usul undi tidak percaya selama lebih tiga jam, dengan Parti Sosialis mendesak Montenegro supaya bekerjasama dalam siasatan khas Parlimen berhubung urusan perniagaan keluarganya
Bagaimanapun, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai terma siasatan, menyebabkan undian diteruskan.
Pilihan raya baharu berpotensi memberi kelebihan kepada Parti berhaluan kanan, Chega yang semakin mengukuhkan kedudukan selepas menjadi kuasa politik ketiga terbesar di Portugal apabila memperoleh 50 kerusi berbanding 12 sebelum ini dan meraih 18 peratus undi popular.
Montenegro menjadi Perdana Menteri pada April tahun lalu selepas bekas pemimpin sosialis, Antonio Costa, meletak jawatan pada November 2023 susulan siasatan kes rasuah.
Costa, yang menafikan dakwaan tersebut, dilantik sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada Jun 2024.
Sementara itu, de Sousa dijangka mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik esok sebelum memanggil mesyuarat Majlis Negara bagi membincangkan langkah seterusnya. -AFP










