Pesakit berjaya hidup 100 hari dengan implan jantung buatan

Pesakit berjaya hidup 100 hari dengan implan jantung buatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Seorang lelaki di Australia mencatat sejarah perubatan dunia apabila menjadi individu pertama berjaya keluar dari hospital dengan implan jantung buatan penuh.

Beliau kekal hidup lebih 100 hari selepas menggunakan alat tersebut sebelum menerima pemindahan jantung penderma pada awal Mac lalu.

Menurut penyelidik dan doktor yang terlibat, kejayaan prosedur itu dianggap sebagai kejayaan klinikal terbesar, sekali gus membuka lembaran baharu dalam rawatan kegagalan jantung terakhir di peringkat antarabangsa.

Implan jantung buatan penuh BiVACOR itu dicipta oleh Dr. Daniel Timms dari Queensland.

Alat itu merupakan pam darah putar pertama di dunia yang mampu menggantikan fungsi jantung manusia sepenuhnya disamping menggunakan teknologi levitasi magnetik bagi meniru aliran darah semula jadi seperti jantung yang sihat.

Peranti ini direka khas bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung biventrikular peringkat akhir, yang kebiasaannya berpunca daripada serangan jantung, penyakit jantung koronari atau penyakit lain seperti diabetes yang merosakkan keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan berkesan.

Menurut kerajaan Australia, yang membiayai pembangunan peranti ini dengan dana sebanyak AS$50 juta (RM221 juta) di bawah Program Sempadan Jantung Buatan.

Terdapat lebih 23 juta orang di seluruh dunia mengalami kegagalan jantung setiap tahun, namun hanya 6,000 orang yang menerima pemindahan jantung penderma.

Pesakit berusia 40-an dari New South Wales itu secara sukarela menjadi penerima pertama implan jantung buatan penuh di Australia dan keenam di dunia.

Lima pembedahan sebelum ini dilakukan di Amerika Syarikat (AS), di mana semua pesakit berjaya menerima jantung penderma sebelum dibenarkan keluar dari hospital, dengan tempoh terpanjang antara implan dan pemindahan ialah 27 hari.

Prosedur selama enam jam itu diketuai oleh Pakar Bedah Kardiotorasik dan Pemindahan Jantung, Dr. Paul Jansz, di Hospital St Vincent, Sydney pada 22 November tahun lalu.

Pesakit tersebut dibenarkan keluar dari hospital pada Februari sebelum menerima jantung penderma pada Mac.

Dr. Jansz menyifatkan kejayaan ini sebagai detik bersejarah bagi dunia perubatan di Australia.

“Kami telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mencapai momen ini dan sangat berbangga menjadi pasukan pertama di Australia yang melaksanakan prosedur ini,” katanya.

Implan ini merupakan sebahagian daripada siri pembedahan yang dirancang di Australia di bawah Program Sempadan Jantung Buatan yang diterajui oleh Universiti Monash di mana mereka bertanggungjawab membangunkan tiga peranti utama bagi merawat bentuk kegagalan jantung yang paling lazim di dunia. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN