RAMALLAH: Sekumpulan peneroka haram Israel bertindak meratakan kawasan luas tanah milik penduduk Palestin di perkampungan Umm Safa, barat laut Ramallah, awal pagi semalam.
Ketua Majlis Perkampungan Umm Safa, Marwan Al-Sabah memberitahu agensi berita Wafa mengenai kehadiran peneroka haram Yahudi yang secara senyap memasuki kawasan Jabal Al-Ras di timur kampung berkenaan, sebelum meratakan tanah yang dimiliki penduduk Palestin.
Menurutnya, tanah tersebut amat penting kerana menjadi laluan utama yang menghubungkan Umm Safa dengan kampung-kampung berhampiran seperti Deir Al-Sudan, Ajul dan Aroura.
Kemusnahan tanah ini dikhuatiri akan menyebabkan Umm Safa terputus hubungan dengan kawasan sekeliling.
Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober 2023, tentera rejim tersebut telah menutup dua pintu masuk utama ke Umm Safa, sekali gus menyekat pergerakan penduduk.
Setakat ini, jentolak Israel telah meratakan lebih 300 kawasan pertanian dan menebang pokok zaitun serta anggur sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan penempatan haram.
Umm Safa sebelum ini juga sering menjadi sasaran serangan pendatang Israel yang membina penempatan secara haram di tanah kampung tersebut serta kawasan sekitar.
Sementara itu, di bandar Deir Istiya, barat laut Salfit, seorang peneroka haram Israel dilaporkan membiarkan ternakannya meragut di tanah milik penduduk Palestin.
Aktivis antipenempatan haram, Nazmi Al-Salman, memaklumkan kepada Wafa seorang pendatang dari pos haram Havat Ibn Haimer membenarkan ternakannya meragut di kawasan ladang Maghr Al-Asmar, di utara bandar itu.
Dalam satu pendapat nasihat yang dikeluarkan pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pendudukan Israel di Tebing Barat adalah tidak sah di sisi undang-undang dan perlu ditamatkan dalam tempoh setahun, selain menggesa Israel membayar pampasan kepada rakyat Palestin. -AGENSI











