JAKARTA: Penduduk asal Papua Barat menyeru boikot terhadap beberapa jenama terkenal seperti KitKat, Smarties, Aero, biskut Oreo dan Ritz, serta produk kosmetik Pantene dan Herbal Essences berikutan dakwaan pemusnahan alam sekitar di wilayah mereka.
Seruan boikot ini dibuat selepas syarikat pengeluar produk tersebut dikatakan memperoleh minyak sawit secara langsung dari Papua Barat, di mana wilayah tersebut sebelum ini berada di bawah jajahan Belanda selama beberapa abad sebelum diserahkan kepada Indonesia pada tahun 1963.
Beribu-ribu ekar hutan hujan di wilayah itu telah dimusnahkan bagi tujuan pertanian.
Lebih 90 suku kaum, pertubuhan politik dan kumpulan agama di Papua Barat menyokong boikot ini sehingga hak penentuan nasib sendiri diberikan kepada rakyat Papua Barat.
Jurucakap United Liberation Movement for West Papua (ULMWP), Raki Ap menegaskan, produk tersebut berkait rapat dengan pencabulan hak asasi manusia.
“Penduduk asal Papua Barat telah diusir secara paksa, dengan keganasan, dari tanah yang mereka duduki selama ribuan tahun. Kini, hasilnya ialah pemusnahan alam sekitar secara besar-besaran,” katanya.
Beliau juga menggesa negara-negara yang berurusan dengan Indonesia, terutama di rantau Pasifik, supaya menyedari bagaimana mereka sebenarnya membenarkan Indonesia meneruskan projek kolonialisme di Papua Barat.
Sementara itu, jurucakap Nestlé, syarikat pengeluar KitKat, Smarties dan Aero, menyatakan pihaknya mempunyai garis panduan ketat dalam memastikan rantaian bekalan minyak sawit bebas daripada aktiviti penebangan hutan.
“Kami menggunakan kombinasi pemetaan rantaian bekalan, pensijilan, pemantauan satelit dan penilaian di lapangan. Sebarang dakwaan sebegini akan disiasat dengan teliti,” kata jurucakap itu.
Namun, Mondelēz, pengeluar Oreo dan Ritz, serta Procter & Gamble, syarikat yang mengeluarkan produk Pantene dan Herbal Essences, enggan memberikan sebarang komen. -AGENSI










