QUETTA: Seramai 40 orang terbunuh termasuk sembilan anggota keselamatan selepas kumpulan pemisah menawan sebuah kereta api di wilayah Balochistan, Pakistan semalam.
Menurut pegawai kanan kereta api, Imran Hayat, seorang pemandu kereta api turut terbunuh dalam serangan yang berlaku di dalam Terowong No. 8 di kawasan pergunungan Sibi, Balochistan.
Kejadian itu berlaku apabila kereta api Jaffer Express yang membawa kira-kira 450 penumpang dari Quetta menuju ke Peshawar, dihentikan secara paksa oleh kumpulan bersenjata.
Jurucakap kerajaan Balochistan, Shahid Rind memaklumkan, berlaku tembak-menembak sengit di lokasi kejadian.
“Seramai 190 tebusan telah berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan, termasuk 58 lelaki, 31 wanita dan 15 kanak-kanak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan akses ke lokasi kejadian sukar disebabkan kawasan berbukit dan mencabar.
Sementara itu, kumpulan pemisah Baloch Liberation Army (BLA) mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut dan mengancam akan membunuh tebusan sekiranya operasi keselamatan diteruskan.
Menurut sumber keselamatan, setakat malam tadi, seramai 30 anggota pemisah terbunuh manakala ramai lagi cedera dan kumpulan tersebut kini berpecah kepada kumpulan kecil dan dikepung oleh pasukan keselamatan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tersebut, khususnya ketika umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan.
“Tindakan keji ini membuktikan bahawa pengganas ini tidak ada kaitan dengan Islam, Pakistan mahupun Balochistan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa Balochistan sebelum ini sudah mengeluarkan amaran mengenai ancaman serangan oleh BLA sejak Jumaat lalu dan mengarahkan semua pihak berkaitan meningkatkan langkah keselamatan.
Wilayah Balochistan sudah lama bergolak dengan gerakan pemisah yang mendakwa kerajaan Pakistan mengeksploitasi hasil mineral di wilayah itu tanpa memberikan pulangan yang adil kepada penduduk tempatan.
Serangan oleh BLA turut mencatatkan angka korban tertinggi di Pakistan dalam tempoh setahun yang lalu. -AGENSI










