Peluncur diserang jerung di Australia, disahkan maut

Peluncur diserang jerung di Australia, disahkan maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTH: Seorang peluncur air yang diserang jerung di pantai Wharton di barat daya Australia pada Isnin disahkan maut selepas usaha mencari dan menyelamat gagal menemukan mangsa, lapor pihak polis semalam.

Menurut Polis Australia Barat, kejadian berlaku sekitar pukul 12.10 tengah hari (waktu tempatan) di mana papan luncur dipercayai milik mangsa ditemui dengan kesan gigitan yang jelas.

Pegawai Kanan Balai Polis Esperance, Sarjan Christoper Taylor berkata, operasi mencari dilancarkan sejurus menerima laporan tetapi terpaksa dihentikan sementara pada waktu malam sebelum disambung semula keesokan harinya.

“Malangnya, usaha kami masih belum menemui mayat mangsa. Saya juga mengesahkan bahawa operasi ini adalah misi mencari dan membawa pulang, bukan lagi misi menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan video.

Taylor menyifatkan insiden itu sebagai amat menyayat hati dan memaklumkan pihaknya telah meneliti rakaman dron yang merakam detik selepas serangan berlaku.

“Terdapat banyak darah, kelibat jerung, dan beberapa perkara lain yang saya rasa tidak perlu didedahkan kepada orang ramai,” katanya kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Tambah beliau, operasi mencari akan dihentikan sekiranya tiada petunjuk baharu.

Mangsa dikenal pasti sebagai Steven Jeffrey Payne, lelaki berusia 30-an dari Melbourne yang bercuti bersama pasangannya dan seekor anjing peliharaan, menurut laporan ABC yang memetik kenyataan ahli keluarga mangsa.

Pantai Wharton yang ditutup sejak Isnin dijangka dibuka semula hari ini selepas pihak berkuasa mengesahkan tiada lagi kelibat jerung di kawasan berkenaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memantau amaran jerung tempatan dan mematuhi langkah keselamatan seperti berada di kawasan berpagar yang disediakan bagi menghalang kemasukan jerung.

Menurut laman SharkSmart yang dikendalikan kerajaan Australia, terdapat kira-kira 100 spesies jerung di perairan Australia Barat, namun kebanyakannya tidak bersifat agresif.

Serangan jerung di Australia adalah kejadian jarang berlaku dengan 255 kes serangan maut direkodkan sejak tahun 1791 di negara yang berpopulasi 27 juta orang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN