Netanyahu masih dahaga 'darah' di Gaza, tak hirau kecaman penduduk Israel

Netanyahu guna ‘darah’ penduduk Gaza untuk selamatkan karier politik

SEORANG wanita Palestin ditenangkan ketika melihat mayat mangsa serangan udara Israel di Hospital Indonesia di Beit Lahia.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketika umat Islam di seluruh dunia mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan meningkatkan ibadah menjelang akhir Ramadan, penduduk Palestin pula terus bermandi darah apabila tentera Israel semakin ‘galak’ memusnahan wilayah Gaza dengan melancarkan serangan darat baharu semalam.

Tindakan itu, sekali gus meruntuhkan gencatan senjata selama dua bulan dengan Hamas.

Tentera Israel melancarkan serangan bersasar dengan menawan semula kawasan penting di wilayah itu, sehari selepas melancarkan pengeboman udara ke atas wilayah itu.

SERANGAN DARAT BAHARU

Israel menuduh Hamas berulang kali enggan membebaskan tebusan dan menolak tawaran daripada pengantara. 

Hamas, sebaliknya, menuduh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu secara sepihak membatalkan gencatan senjata dan meletakkan tebusan dalam risiko besar dengan nasib yang tidak diketahui.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, tenteranya mula menyasarkan aktiviti darat di tengah dan selatan Semenanjung Gaza untuk meluaskan zon keselamatan serta mewujudkan penampan separa antara utara dan selatan Gaza.

“Sebagai sebahagian daripada aktiviti darat, tentera meluaskan kawalan mereka lebih jauh ke tengah Koridor Netzarim,” kata tentera.

Hamas menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai pelanggaran baharu dan berbahaya terhadap perjanjian gencatan senjata. 

Kumpulan pejuang itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih kekal komited dengan perjanjian gencatan senjata yang ditandatanganinya dengan Israel pada Januari.

Peperangan Israel di Gaza sudah membunuh hampir 50,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu, dengan peperangan yang  bersambung semula bakal meningkatkan lagi jumlah korban.

Serangan udara sejak Selasa, lalu menyebabkan lebih 470 orang maut dengan 170 lagi adalah kanak-kanak yang tidak berdosa, lapor kementerian kesihatan kendalian Hamas.

Penyelamat Gaza berkata, sekurang-kurangnya 10 lagi penduduk terbunuh dalam pengeboman mengejut sebelum subuh berhampiran Khan Younis semalam.

NETANYAHU DIKECAM 

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berdepan kemarahan penunjuk perasaan di luar Parlimen Israel, Knesset dan kediamannya sehari selepas beliau menyambung semula perang di Gaza yang telah meranapkan harapan fasa kedua gencatan senjata dengan Hamas.

Di Lebuh Raya 1, jalan utama yang menghubungkan Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, ribuan penunjuk perasaan mengangkat sepanduk yang bertulis, ‘Masa depan gabungan atau masa depan Israel’.

Sepanduk itu menekankan mesej yang disampaikan oleh ribuan rakyat bahawa setelah hampir 18 bulan perang dan gencatan senjata yang rapuh, Netanyahu terus mengutamakan kelangsungan politiknya berbanding keselamatan penduduk, nyawa tebusan Israel dan rakyat Palestin di Gaza.

Tentera Israel pada Rabu menyatakan bahawa mereka telah melancarkan aktiviti darat yang disasarkan di Gaza dengan sebahagiannya bertujuan merampas semula kawasan penting di wilayah itu.

Bagi Netanyahu, memutuskan gencatan senjata telah membantu mengukuhkan gabungan pemerintahannya yang goyah di tengah-tengah perbicaraan rasuahnya dan menjelang undian penting mengenai belanjawan Israel.

Penyambungan semula perang telah memulihkan sokongan Itamar Ben-Gvir, menteri sayap kanan yang keluar dari kerajaan sebagai bantahan terhadap perjanjian gencatan senjata pada Januari.

Pada Selasa, tidak lama selepas serangan baharu ke Gaza, parti Kuasa Yahudinya mengumumkan akan menyertai semula gabungan Netanyahu.

Namun, bagi ramai penduduk Israel, perang ini telah membangkitkan perasaan putus asa dan kemarahan terhadap kepimpinannya.

Bagi rakyat Palestin, ia menandakan berakhirnya ‘rehat’ singkat yang hanya bertahan selama dua bulan.

Selain itu, memulakan semula perang tidak selari dengan keinginan ramai rakyat Israel, menurut tinjauan terkini oleh pusat pemikir Israel Democracy Institute yang berpangkalan di Baitulmuqaddis.

Pada awal Mac badan itu menyatakan bahawa majoriti besar penduduk Israel menyokong gencatan senjata.

Lebih 70 peratus rakyat Israel menyokong rundingan dengan Hamas untuk mengakhiri perang dan pengunduran Israel dari Gaz, sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan yang masih ditahan, menurut Institut tersebut.

Menariknya,sebahagian besar 61.5 peratus pengundi dari parti Likud pimpinan Netanyahu menyokong kesinambungan fasa kedua perjanjian gencatan senjata.

Kini, apabila Netanyahu berkeras meneruskan kempen ketenteraan, ramai yang bimbang tentang nasib rakyat yang sudah pun berpecah-belah.

Yuval Yairi, seorang seniman dari Baitulmuqaddis dan bekas pengarah sekolah seni, yang menyertai protes bersama ribuan orang di luar Knesset, memberitahu CNN bahawa beliau percaya perang telah dimulakan semula atas sebab politik.

Katanya, Netanyahu memerlukan sekutu sayap kanannya menjelang tarikh akhir undian belanjawan pada 31 Mac dan menegaskan perang ini merosakkan demokrasi Israel.

“Saya sangat bimbang tentang kemungkinan berlakunya perang saudara. Negara ini terpecah, dan kadang-kadang nampak tiada jalan keluar.

“Rakyat tidak percaya kepada demokrasi dan kehidupan yang kita miliki sebelum semua ini bermula lagi. Anda lihat perpecahan agama di satu sisi, sekularisme di sisi lain. Ia nampak tiada harapan,” kata Yairi.

Elias Shraga, pengerusi Movement for Quality Government in Israel, sebuah badan pengawas undang-undang, bersetuju bahawa perang Netanyahu di Gaza dilancarkan untuk mengekalkan kuasa dan melarikan diri dari undang-undang.

“Netanyahu ingin melarikan diri dari keadilan dan sanggup mengorbakan rakyatnya. Ini satu-satunya sebab kita berhadapan dengan rampasan kuasa rejim dan perang berdarah ini. Netanyahu juga tidak peduli tentang tebusan di Gaza,” katanya kepada CNN.

Netanyahu sepatutnya memberi keterangan dalam perbicaraan rasuahnya pada Selasa, tetapi perbicaraan itu dibatalkan kerana penyambungan semula aktiviti ketenteraan di Gaza hanya beberapa jam sebelum beliau dijadualkan hadir di mahkamah. 

Pemimpin pembangkang Yair Lapid turut serta dalam demonstrasi itu untuk memastikan pentadbiran Netanyahu  memahami bahawa mereka tidak boleh membuat keputusan sesuka hati.

KEBULURAN MENINGKAT

Gaza secara rasmi memasuki fasa pertama kebuluran ekoran sekatan Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut.

Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Thawabteh berkata, hampir dua juta penduduk kehilangan sepenuhnya jaminan makanan.

“Rakyat Palestin sedang menghadapi bencana kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat penutupan pintu sempadan oleh Israel dan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail berkata, semua pasar di Gaza telah kehabisan bekalan makanan asas menyebabkan penduduk Palestin kehilangan keperluan hidup.

“Puluhan kedai roti telah berhenti beroperasi kerana larangan terhadap import bahan bakar mengakibatkan penurunan besar dalam jumlah roti yang boleh didapati oleh penduduk Gaza,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan bahawa mereka tidak dapat menghantar sebarang bekalan makanan ke Gaza sejak 2 Mac laluakibat penutupan semua pintu sempadan oleh Israel untuk semua bekalan kemanusiaan dan komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN