KAHERAH: Mesir mengemukakan cadangan baharu perjanjian gencatan di Gaza selepas pihak berkuasa kesihatan Palestin melaporkan serangan Israel yang membunuh sekurang-kurangnya 65 orang di wilayah itu dalam tempoh 24 jam lalu.
Cadangan itu dikemukakan minggu lalu susulan peningkatan keganasan selepas Israel menyambung semula operasi udara dan darat terhadap pejuang Hamas pada 18 Mac, mengakhiri tempoh dua bulan tempoh tenang selepas leih setahun peperangan.
Pegawai kesihatan Gaza berkata, serangan udara dan tembakan Israel telah membunuh hampir 700 rakyat Palestin sejak itu, termasuk sekurang-kurangnya 400 wanita dan kanak-kanak.
Antara yang terbunuh pada Isnin ialah dua wartawan tempatan, Mohammad Mansour dan Hussam Shabat, menurut petugas perubatan.
Kesatuan Wartawan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 206 wartawan telah dibunuh oleh tembakan Israel di Gaza sejak awal Oktober 2023, ketika konflik tercetus.
Hamas pula menyatakan beberapa pegawai kanan politik dan keselamatannya turut terbunuh.
Pada petang Isnin, tentera Israel melaporkan mereka memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen sebelum memasuki Israel.
Siren amaran dibunyikan di Baitulmuqaddis, Tel Aviv, dan kawasan lain.
Kumpulan Houthi yang berpihak kepada Iran di Yemen turut melancarkan peluru berpandu ke Israel sebagai sokongan kepada pejuang Hamas.
Menurut dua sumber keselamatan, rancangan Mesir menyeru Hamas membebaskan lima tebusan Israel setiap minggu, dengan Israel melaksanakan fasa kedua gencatan selepas minggu pertama.
Hamas masih menahan 59 tebusan, dengan 24 dipercayai masih hidup daripada lebih 250 yang diculik dalam serangan rentas sempadan ke Israel pada 7 Oktober 2023.
Sebahagian besar yang lain telah dibebaskan atau mayat mereka diserahkan melalui pertukaran rundingan.
Sumber keselamatan menyatakan kedua-dua AS dan Hamas telah bersetuju dengan cadangan itu, tetapi Israel belum memberi respons.
Seorang pegawai Hamas tidak mengesahkan tawaran tersebut tetapi memberitahu Reuters bahawa beberapa cadangan sedang dibincangkan dengan pengantara untuk merapatkan jurang dan menyambung semula rundingan bagi mencapai persetujuan yang membuka jalan ke fasa kedua perjanjian.
Cadangan Mesir turut merangkumi garis masa pengunduran tentera Israel sepenuhnya dari Gaza, dengan jaminan AS sebagai pertukaran pembebasan tebusan yang tinggal.
Hamas menuduh Israel melanggar syarat gencatan senjata Januari lalu tetapi menyatakan kesediaan untuk berunding perjanjian baharu dan sedang mengkaji cadangan daripada utusan khas Presiden AS Donald Trump, Steve Witkoff.
Israel mendakwa operasi ketenteraannya disambung semula untuk memaksa Hamas membebaskan tebusan yang masih ditahan di Gaza.










