TENNESSEE: Dalam kejadian luar biasa di Amerika Syarikat (AS), seorang lelaki di Memphis, Tennessee cedera selepas ditembak oleh anjing peliharaannya secara tidak sengaja, lapor media tempatan.
Menurut laporan WREG, insiden berlaku apabila Jerald Kirkwood dan seorang wanita sedang berbaring di atas katil bersama sepucuk pistol sebelum anjing mereka dari baka pitbull berusia setahun bernama Oreo, melompat dan secara tidak sengaja menarik picu senjata tersebut.
Peluru dari senjata itu mengenai paha kiri lelaki itu menyebabkan kecederaan ringan sementara rakan wanitanya meninggalkan rumah tersebut sambil membawa pistol berkenaan sebelum Kirkwood dikejarkan ke hospital.
Dalam wawancara bersama stesen Fox 13, wanita tersebut menjelaskan Oreo adalah anjing yang suka bermain dan melompat-lompat.
“Ia merupakan anjing yang suka bermain, Oreo melompat-lompat dan secara tidak sengaja, pistol itu meletup,” katanya.
Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kecederaan tidak disengajakan dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Kirkwood atau Oreo.
Wanita tersebut juga menyatakan mereka akan memastikan keselamatan pistol mereka lebih terjamin selepas ini.
“Kami akan pastikan kunci keselamatan diaktifkan atau gunakan kunci picu,” katanya.
Kirkwood bukanlah individu pertama yang menjadi mangsa tembakan oleh haiwan peliharaan kerana pada tahun 2018, Richard Remme dari Fort Dodge, Iowa, mengalami kecederaan di kaki selepas anjingnya, campuran pitbull dan labrador bernama Balew, secara tidak sengaja menarik picu pistol yang disimpan di pinggangnya semasa mereka bergurau.
Manakala, pada tahun 2019, bekas pemain bola sepak Universiti Negeri Louisiana, Matt Branch, kehilangan sebelah kaki selepas terkena tembakan dari senapang berburu yang dipijak anjing labrador hitamnya ketika dalam perjalanan memburu di Mississippi.