NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pemotongan dana bantuan luar negara oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump akan mengakibatkan ‘lebih banyak kematian di seluruh dunia’.
Keputusan yang dibuat kerajaan pimpinan Trump menyaksikan krisis kemanusiaan seperti kebuluran di negara-negara miskin terus menjadi kritikal dan mungkin tiada kesudahan.
Ketua Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Tom Fletcher menganggarkan terdapat 300 juta orang atau lebih memerlukan sokongan kemanusiaan di seluruh dunia, dan skala potongan dana yang besar merupakan kejutan seismik kepada situasi yang sudah pun rapuh itu.
“Ramai akan mati kerana bantuan tsemakin berkurangan,” katanya dalam satu sidang akhbar pada Rabu.
Sejak Trump kembali berkuasa pada Januari, Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) menjadi sasaran utama pentadbirannya dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan, dengan kesan yang sudah dirasai di seluruh dunia.
Selepas membekukan semua bantuan asing untuk dikaji semula, Jabatan Negara AS minggu lalu mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan 83 peratus kontrak USAID.
“Di seluruh keluarga PBB dan rakan-rakan, kami terpaksa membuat pilihan sukar setiap hari tentang nyawa siapa yang perlu diutamakan, nyawa siapa yang perlu kami cuba selamatkan,” kata Fletcher sambil mengakui bahawa agensi itu sebenarnya terlalu bergantung kepada pembiayaan AS.
Pada Disember lalu, PBB menganggarkan sebanyak AS$47.4 billion (RM209.7 billion) akan diperlukan untuk bantuan kemanusiaan pada 2025, biarpun jumlah itu hanya mencukupi untuk menyokong kira-kira 190 juta orang yang memerlukan.
Tanpa pembiayaan AS yang menurut Fletcher telah menyelamatkan ratusan juta nyawa, anggaran capaian bantuan kemanusiaan PBB terpaksa dikurangkan sekali lagi.