Ketua junta umum adakan pilihan raya di Myanmar 

Ketua junta umum adakan pilihan raya di Myanmar 

MIN AUNG HLAING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAYPYIDAW: Kerajaan tentera Myanmar akan mengadakan pilihan raya umum pada Disember ini atau Januari tahun depan, lapor media tempatan.

Ketua junta mengumumkan jangka masa khusus pertama untuk pilihan raya yang telah lama dijanjikan di negara dilanda perang itu.

Myanmar bergolak sejak awal 2021 apabila tentera menggulingkan kerajaan awam yang dipilih secara demokratik diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.

Ia kemudian mencetus gerakan protes sebelum berubah menjadi pemberontakan bersenjata terhadap junta di seluruh negara.

Pemimpin junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing berikrar untuk mengadakan pilihan raya, tetapi pentadbirannya berulang kali melanjutkan keadaan darurat walaupun pasukannya semakin lemah akibat serangan pelbagai kumpulan pembangkang anti-junta.

Pengkritik secara meluas mengecam pilihan raya yang dijanjikan sebagai penipuan untuk mengekalkan kuasa jeneral melalui proksi, memandangkan berpuluh-puluh parti politik telah diharamkan dan junta kehilangan cengkaman ke atas sebahagian besar Myanmar.

“Kami merancang untuk mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil tidak lama lagi. Sebanyak 53 parti politik telah pun menyerahkan senarai mereka untuk menyertai pilihan raya,” kata Aung Hlaing semasa lawatan ke Belarus dipetik akhbar Global New Light of Myanmar.

Junta hanya berjaya menjalankan bancian penuh secara langsung di 145 daripada 330 daerah untuk menyediakan senarai pemilih bagi pilihan raya, menurut laporan bancian yang diterbitkan pada Disember tahun lalu.

Pilihan raya itu juga dikhuatiri mencetus risiko keganasan lebih besar apabila junta dan penentangnya mendesak untuk meningkatkan kawalan wilayah mereka di Myanmar, di mana konflik yang semakin meluas menyebabkan ekonomi kucar-kacir dan lebih 3.5 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN