Kebakaran di Heathrow serangan sabotaj ditaja Kremlin?

Kebakaran di Heathrow serangan sabotaj ditaja Kremlin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ketika maklumat masih terhad berhubung insiden kebakaran pencawang elektrik yang menyebabkan Lapangan Terbang Heathrow bergelap lebih 24 jam Jumaat lalu, spekulasi mengenai kemungkinan penglibatan Russia mula berlegar dalam kalangan media dan orang ramai.

Lapangan terbang yang disifatkan antara paling sibuk di dunia itu, terpaksa dihentikan operasi susulan kebakaran di sebuah pencawang elektrik dari kawasan utama yang membekalkan perkhidmatan kritikal.

Insiden itu menyebabkan lebih 1,300 penerbangan dibatalkan, manakala ratusan lagi dialihkan ke bandar lain atau berpatah balik hingga mengakibatkan gangguan perjalanan global.

Pihak berkuasa Britain menyatakan tiada petunjuk awal wujud unsur jenayah, malah Pasukan Bomba London kini mengambil alih siasatan daripada pegawai perisikan selepas kebakaran itu diklasifikasikan sebagai tidak mencurigakan.

Bagaimanapun, akhbar The Telegraph menyiarkan artikel editorial bertajuk ‘Jika Russia dalang kebakaran Heathrow, adakah itu satu perisytiharan perang?’

Pengguna media sosial turut mempersoalkan sama ada kebakaran itu adalah sebahagian daripada strategi ‘perang hibrid’ yang dikaitkan dengan Moscow.

Statistik daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menunjukkan serangan sabotaj yang dipercayai didalangi Russia hampir meningkat tiga kali ganda antara 2023 dan 2024, selepas melonjak empat kali ganda antara 2022 dan 2023.

Laporan itu juga menyebut pengangkutan dan infrastruktur kritikal antara sasaran utama, dengan kaedah serangan melibatkan letupan, senjata tumpul serta serangan elektronik.

Russia bagaimanapun menafikan dakwaan mereka menggerakkan kempen sabotaj di seluruh Eropah.

Dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Institut Perkhidmatan Bersatu Diraja (RUSI) di London, bekas penasihat pertahanan dan perisikan Ukraine, Oleksandr Danylyuk menyatakan bahawa sabotaj kini menjadi keutamaan lebih tinggi bagi Russia.

Beliau memetik laporan risikan Eropah yang mendakwa sebuah unit khas baharu yang dinamakan Pusat Latihan Khas ke-236 ditubuhkan untuk mempertingkat operasi sabotaj secara besar-besaran.

Menurut CSIS, kira-kira 27 peratus serangan yang diketahui menyasarkan sektor pengangkutan, 27 peratus lagi terhadap sasaran kerajaan, manakala 21 peratus melibatkan infrastruktur kritikal seperti grid elektrik, saluran paip dan kabel gentian optik dasar laut.

Ketika gangguan di Heathrow semakin meluas, bekas Presiden yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia , Dmitry Medvedev, tampil menyindir Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer di platform X.

“Saya menunggu Russia dipersalahkan atas kebakaran di Heathrow. Apa yang anda tunggu lagi, Starmer?” katanya di laman itu.

Seorang pegawai kerajaan Britain memberitahu NBC News bahawa tiada sebarang petunjuk penglibatan Russia dalam kejadian itu.

Dalam ada itu, Felo Kanan di RUSI, H.A. Hellyer mengakui tidak terkejut apabila orang ramai membuat kesimpulan pantas dengan mengaitkan Russia dalam insiden ini.

“Persekitaran maklumat yang penuh dengan disinformasi dan maklumat salah menyebabkan ramai orang beranggapan setiap kejadian buruk seperti ini pasti ada cap jari Russia, kerana sebelum ini memang banyak kali perkara seperti itu berlaku,” katanya kepada NBC News.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN