BAITULMUQADDIS: Tentera Israel bertindak menutup Jalan Salah al-Din yang ditetapkan sebagai laluan selamat dari utara ke selatan Gaza.
“Untuk kali pertama sejak gencatan senjata bermula, kereta kebal Israel menutup Jalan Salah al-Din di Netzarim, selatan bandar Gaza ke arah utara,” lapor akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth.
Laporan itu menyatakan bahawa lalu lintas masih dibuka ke arah selatan sepanjang laluan tersebut yang sebelum ini digunakan oleh penduduk Gaza yang berpindah untuk kembali ke utara dengan kenderaan.
Jalan pantai Al-Rashid di barat Gaza masih boleh dilalui, membolehkan perjalanan pejalan kaki ke utara.
Penutupan itu merupakan satu lagi cara untuk memberi tekanan ke atas Hamas dan rakyat Palestin, tambah akhbar harian Israel itu.
Akhbar itu turut mendakwa Langkah itu bertujuan menghalang lebih banyak pejuang bersenjata daripada menyeberang dari selatan ke utara Gaza selepas beribu-ribu telah melakukannya ketika tentera rejim itu menarik diri dari Koridor Netzarim kira-kira satu setengah bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dari Israel dikeluarkan berhubung tindakan itu.
Hamas mengutuk tindakan Israel itu sebagai pelanggaran sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan sekaligus meningkatkan pengepungan ke atas Gaza dan menambah kesengsaraan rakyatnya ketika bulan Ramadan.
Pejuang Palestin itu menyambut baik sebarang cadangan yang menjurus kepada perbincangan fasa kedua dan gencatan senjata kekal.
Sekurang-kurangnya 436 orang terbunuh dan lebih 670 yang lain cedera dalam serangan udara Israel terbaharu di Gaza sejak Selasa, memusnahkan perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Januari.
Hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan Israel yang kejam di Gaza sejak Oktober 2023.
Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berhadapan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perangnya di wilayah tersebut.










