Israel gantung kemasukan bantuan ke Gaza

Israel gantung kemasukan bantuan ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel bertindak menangguhkan kemasukan bekalan bantuan ke Gaza dan mengancam akan bertindak balas jika Hamas tidak menerima cadangan untuk melanjutkan sementara gencatan senjata di wilayah Palestin itu.

Perkara itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

“Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memutuskan bahawa mulai pagi ini, semua kemasukan barangan dan bekalan ke Semenanjung Gaza akan digantung.

“Israel tidak akan menerima gencatan senjata tanpa pembebasan tebusan kami. Jika Hamas berterusan dengan keengganannya, akan ada akibat lain,” kata kenyataan itu.

Hamas menyelar tindakan itu, menyifatkannya sebagai jenayah perang dan jelas melanggar syarat perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak dalam fasa 42 hari pertama yang hampir berakhir.

“Keputusan Netanyahu menggantung bantuan kemanusiaan adalah taktik peras ugut murahan, jenayah perang dan rampasan kuasa terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata.

“Kumpulan Palestin secara konsisten memihak kepada peralihan fasa kedua gencatan senjata, yang akan menyaksikan pembebasan semua tebusan yang tinggal dan menamatkan pertempuran secara lebih kekal di Semenanjung Gaza yang dilanda peperangan,” katanya.

Israel bersetuju dengan cadangan lanjutan fasa pertama itu dikemukakan oleh Utusan Asia Barat Presiden AS Donald Trump, Steve Witkoff, yang akan berlangsung hingga Ramadan dan berakhir pada sambutan Paskah pertengahan April.

Berikutan pengumuman dari pejabat Netanyahu, jurucakapnya, Omer Dostri menulis di laman X mengatakan tiada trak memasuki Gaza pagi ini, begitu juga pada tahap ini.

Menteri Kewangan berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, yang partinya penting untuk mengekalkan kerajaan Netanyahu, mengalu-alukan keputusan untuk menangguhkan bantuan.

“Menghentikan bantuan sehingga Hamas dimusnahkan atau berundur sepenuhnya dan semua tebusan kami dibebaskan adalah langkah yang betul.

“Kami kekal dalam kerajaan untuk memastikan ini berlaku,” tambahnya sambil menyeru peperangan baharu dilancarkan menentang Hamas.

Dalam pada itu, Hamas menyeru pengantara dan masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel supaya rejim itu menamatkan tindakan kejam dan tidak bermoral ini terhadap lebih dua juta orang di Semenanjung Gaza.

Perang selama lebih 15 bulan mewujudkan krisis kemanusiaan di Gaza, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran bahawa wilayah itu berada di ambang kebuluran sebelum gencatan senjata membenarkan lonjakan bantuan masuk.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN