BAITULMUQADDIS: Hamas mengeluarkan rakaman video menunjukkan dua tebusan Israel yang ditahan di Gaza menggesa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu segera memeterai perjanjian untuk membebaskan mereka.
Rakaman berdurasi kira-kira tiga minit itu memaparkan kedua-dua lelaki itu duduk di atas lantai dan bercakap dalam bahasa Hebrew sambil merakam pesanan untuk seorang tawanan yang telah dibebaskan.
Mereka meminta bekas tawanan itu menceritakan pengalamannya dalam tahanan bagi mempercepatkan proses pembebasan mereka.
AFP mengenal pasti kedua-dua lelaki tersebut sebagai Elkana Bohbot dan Yosef Haim Ohana, yang diculik semasa festival muzik Nova di Israel.
Keluarga Bohbot bertindak balas terhadap video itu dengan mengeluarkan kenyataan yang menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memastikan pembebasan tebusan dilakukan segera.
“Bayangkan jika ini anak anda, ayah kepada cucu anda menunggu untuk melihat cahaya matahari, mendengar bunyi bom (tentera Israel) dan hidup dalam ketakutan berterusan untuk nyawanya.
“Video ini adalah tanda mereka masih hidup, tetapi kami mahukan Elkana pulang dengan selamat dan semua tebusan dibebaskan,” menurut kenyataan itu.
Dalam rakaman tersebut, kedua-dua lelaki itu bercakap tentang bahaya yang mereka hadapi sejak serangan udara Israel disambung semula di Gaza minggu lalu.
Selain meneruskan serangan udara ganas, Israel juga turut menyambung operasi darat dan memaksa ribuan penduduk berpindah lagi.
Serangan terbaharu ini berlaku selepas beberapa minggu pertikaian dengan Hamas mengenai cara melanjutkan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari.
Daripada 251 tawanan dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, 58 masih ditahan oleh pejuang Gaza, termasuk 34 yang disahkan mati oleh tentera Israel.-AGENSI









