LOS ANGELES: Gempa bumi berukuran 3.9 pada skala Richter melanda Los Angeles beberapa jam selepas majlis Anugerah Oscar ke-97 berakhir ketika bintang-bintang ternama Hollywood berparti di acara eksklusif.
Menurut laporan Mirror, gegaran itu berlaku sekitar pukul 10.13 malam waktu tempatan di kawasan Hollywood Utara, kira-kira 16 kilometer dari Los Angeles dengan kedalaman 15.3 kilometer.
Gegaran turut dirasai di acara karpet merah Vanity Fair yang dihadiri oleh selebriti terkenal termasuk Elton John, Demi Moore dan Kim Kardashian.
Ketika kejadian, penyanyi Chappell Roan sedang membuat persembahan di majlis makan malam Yayasan AIDS Elton John yang ke-33.
Sementara itu, tetamu di Governors Ball, iaitu majlis selepas Anugerah Oscar yang eksklusif, turut merasai gegaran berkenaan, menurut laporan Hollywood Reporter.
Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD) dalam satu kenyataan di media sosial mengesahkan gempa bumi tersebut dirasai di pusat bandar Los Angeles tetapi memaklumkan mereka tidak mengaktifkan mod kecemasan dan meminta penduduk tempatan bersiap sedia serta mengikuti perkembangan lanjut.










