DOHA: Pelan baharu pembangunan semula Semenanjung Gaza yang disediakan Mesir menyaksikan wilayah itu bakal ditadbir negara Arab, Islam dan Barat.
Berdasarkan dokumen yang dikongsi dengan Reuters, pelan itu akan dibentang dalam Sidang Kemuncak Liga Arab.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada pelan itu akan dilaksanakan sebelum atau selepas gencatan senjata kekal antara Israel dengan Hamas.
Rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk ‘membersihkan’ Gaza daripada penduduk Palestin ditentang pelbagai pihak dengan dasar Asia Barat-AS sudah lama berharap agar penyelesaian dua negara menjadi kaedah terbaik.
Siapa yang akan mentadbir Gaza sehingga kini masih menjadi tanda tanya dan Hamas setakat ini didakwa menolak sebarang idea yang diusulkan untuk kelangsungan wilayah tersebut.
Pelan yang diusulkan Kaherah tersebut dilaporkan tidak menangani isu kritikal seperti siapa yang akan menguruskan pembinaan semula Gaza atau menggariskan sebarang maklumat khusus mengenai bagaimana wilayah itu akan ditadbir.
Di Bawah rancangan Mesir, Misi Bantuan Tadbir Urus bakal menggantikan kerajaan yang dikuasai Hamas di Gaza untuk tempoh sementara.
“Usaha pembangunan semula Gaza mungkin sukar selagi Hamas kekal berkuasa di wilayah tersebut,” menurut draf pelan berkenaan.
Mesir, Jordan dan negara Teluk Ketika ini saling ‘berebut’ untuk merangka ‘serangan diplomatik’ bagi membantah cadangan Trump dengan Kaherah kini menjadi pelopor.
Pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, mereka langsung tidak mengetahui mengenai pelan yang dirangka Mesir.
“Hamas menolak mana-mana percubaan untuk membentuk pentadbiran bukan Palestin di Gaza kerana tanah Gaza untuk rakyat Palestin,” katanya.
Pelan Mesir itu juga tidak menetapkan sama ada perlu melakukan pilihan raya atau sebaliknya di Gaza, selain tidak menyatakan Pihak Berkuasa Palestin (PA) akan diberi kuasa untuk mentadbir wilayah berkenaan.
Seorang pegawai Palestin memberitahu Reuters, seperti di Tebing Barat, Gaza juga termaktub di bawah pentadbiran PA dan perlu diuruskan oleh rakyat Palestin.
“Kami bersetuju dengan Mesir untuk membantu PA mentadbir Gaza selama enam bulan,” katanya.
Hamas mula mentadbir Gaza sejak 2007 dan gencatan senjata yang sepatutnya disambung masih belum capai persetujuan.










