GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas memaklumkan, para pegawainya sudah mengadakan pertemuan dengan ketua agensi perisikan umum Mesir, Hassan Mahmoud Rashad, di Kaherah bagi membincangkan kemajuan dalam pelaksanaan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Menurut kumpulan pejuang itu, pertemuan terbabit menekankan keperluan untuk mematuhi semua syarat dalam perjanjian, segera memulakan rundingan bagi fasa kedua, membuka lintasan sempadan, dan membenarkan kemasukan bahan bantuan ke Gaza tanpa sebarang sekatan atau syarat.
Hamas memaklumkan mengenai perkara tersebut dalam satu kenyataan, semalam.
Kumpulan pejuang itu juga memaklumkan mereka menyokong cadangan Mesir untuk pembinaan semula Gaza termasuk gesaan bagi pembentukan kerajaan peralihan untuk mentadbir wilayah tersebut sehingga pilihan raya dapat diadakan.
“Delegasi mengesahkan persetujuan gerakan itu untuk membentuk Jawatankuasa Sokongan Komuniti yang terdiri daripada tokoh nasional bebas bagi mentadbir Gaza sehingga pentadbiran Palestin disusun semula dan pilihan raya umum di semua peringkat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan negara haram itu sudah menerima jemputan bagi mengadakan rundingan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) tersebut dan akan menghantar delegasinya ke Doha hari ini.
TAMATKAN PENCEROBOHAN ISRAEL
Dalam pada itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa mengadakan perbincangan dengan menteri luar Mesir, Pakistan dan Turkiye untuk menyelaraskan usaha menamatkan pencerobohan Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan, Muhammad Ishaq Dar; Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty diadakan di Jeddah pada Jumaat di luar sesi tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini dan situasi di Palestin, kata pejabat Mustafa dalam kenyataan kelmarin.
“Perdana Menteri Mustafa juga membincangkan bagaimana untuk mempergiatkan usaha bagi menghentikan pencerobohan pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin dan mengumpulkan sokongan antarabangsa bagi rancangan Palestin-Mesir dalam pembinaan semula Gaza.
“Pelan ini diterima pakai semasa sidang kemuncak tergempar Arab di Kaherah dan disahkan oleh mesyuarat Menteri Luar OIC, mengukuhkannya sebagai inisiatif bersama Arab-Islam,” menurut kenyataan itu.
EROPAH SOKONG ARAB BANGUNKAN GAZA
Menteri-Menteri Luar Perancis, Jerman, Itali dan Britain kelmarin menyatakan sokongan mereka terhadap pelan negara Arab untuk pembinaan semula Gaza, yang dianggarkan menelan kos AS$53 bilion (RM234 bilion).
Menteri berkenaan menerusi satu kenyataan bersama, mempersetujui langkah yang bertujuan mengelakkan pemindahan penduduk Palestin dari wilayah tersebut.
“Pelan ini menunjukkan jalan yang munasabah untuk pembinaan semula Gaza dan menjanjikan, jika berjaya dilaksanakan, pembangunan yang cepat lagi mampan bagi memperbaiki kehidupan yang semakin tertekan bagi rakyat Palestin di Gaza,” menurut kenyataan itu.
Pelan yang dirangka oleh Mesir dan diterima pakai oleh pemimpin Arab pada Selasa itu ditolak oleh Israel serta Presiden AS, Donald Trump, yang ada wawasan tersendiri untuk mengubah Semenanjung Gaza menjadi ‘Riviera Asia Barat’.
Cadangan Mesir itu merangkumi penubuhan sebuah jawatankuasa pentadbiran terdiri daripada teknokrat Palestin yang bebas dan profesional, bertanggungjawab mentadbir Gaza selepas berakhirnya perang antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas.
Jawatankuasa itu akan bertanggungjawab mengawasi bantuan kemanusiaan dan mengurus hal ehwal Gaza untuk sementara waktu di bawah penyeliaan Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Kenyataan yang dikeluarkan oleh keempat-empat negara Eropah itu turut menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan inisiatif Arab.
Mereka juga menghargai ‘isyarat penting’ yang diberikan oleh negara-negara Arab dengan membangunkan pelan berkenaan.
Kenyataan itu juga menyebut Hamas ‘tidak seharusnya mentadbir Gaza atau menjadi ancaman kepada Israel’ selain keempat-empat negara itu menyokong peranan utama PA serta pelaksanaan agenda reformasinya.
AMARAN HOUTHI BUAT ISRAEL
Pemimpin kumpulan Houthi di Yaman, Abdul Malik al-Houthi memberi amaran mereka akan menyambung semula serangan terhadap Israel jika negara itu tidak menghentikan sekatan bantuan ke Gaza dalam tempoh empat hari.
Pergerakan yang disokong Iran itu melancarkan lebih 100 serangan terhadap kapal dagang sejak November 2023, dengan alasan menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dalam peperangan antara Israel dan Hamas di Gaza. Serangan itu berkurangan sejak Januari lalu selepas satu gencatan senjata dilaksanakan.
Abdul Malik berkata, tempoh empat hari yang diberikannya itu adalah untuk perantara (gencatan senjata di Gaza) melaksanakan usaha mereka.
“Sekiranya selepas empat hari berkenaan Israel masih menghalang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza dan terus menutup semua laluan sepenuhnya, kami akan menyambung semula operasi laut kami terhadap Israel,” katanya.










