Duck Soo ikrar tangani perang perdagangan dengan AS selepas kembali dalam kerajaan

Duck Soo ikrar tangani perang perdagangan dengan AS selepas kembali dalam kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memutuskan untuk menarik balik pemecatan bekas Perdana Menteri, Han Duck Soo dan melantik beliau sebagai pemangku Presiden.

Keputusan itu mengembalikan Duck Soo ke tampuk kuasa serta-merta, menamatkan berbulan pergolakan politik di negara itu.

Beliau berikrar untuk menumpukan usaha memacu ekonomi republik itu khususya dalam menghadapi perang perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Beliau mengambil alih jawatan pemangku Presiden daripada Yoon Suk Yeol yang dipecat selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu.

“Saya percaya rakyat menyuarakan dengan jelas bahawa konfrontasi melampau dalam politik perlu dihentikan,” katanya yang berterima kasih kepada mahkamah atas keputusan itu serta Kabinet atas kerja keras mereka ketika beliau digantung.

“Sebagai pemangku Presiden, saya akan berusaha mengekalkan pentadbiran negara yang stabil dan mengerah segala kemampuan untuk melindungi kepentingan negara dalam perang perdagangan ini,” katanya dalam kenyataan televisyen.

Korea Selatan merupakan ekonomi keempat terbesar di Asia dan antara pengeksport utama dunia, sedang bersiap menghadapi kesan sekatan perdagangan yang diancam oleh Presiden AS, Donald Trump.

Negara itu sudah dikenakan tarif ke atas keluli serta aluminium dan kini sedang berusaha mendapatkan pengecualian daripada tarif balasan AS bulan depan.

Awal bulan ini, Trump mengecam Korea Selatan kerana mengenakan tarif tinggi terhadap eksport AS.

Pengisytiharan undang-undang tentera oleh Suk Yeol mencetuskan krisis politik terbesar negara itu dalam beberapa dekad, selain mengakibatkan kekosongan kepimpinan berikutan siri pemecatan, peletakan jawatan dan pertuduhan jenayah terhadap beberapa pegawai kanan.

Duck Soo pada mulanya hanya memegang jawatan selama kurang dua minggu sebelum dipecat pada 27 Disember lalu selepas enggan melantik tiga lagi hakim Mahkamah Perlembagaan, menyebabkan pertikaian dengan Parlimen yang dikuasai pembangkang.

Menteri Kewangan, Choi Sang Mok sebelum ini memegang jawatan pemangku Presiden sementara kes Suk Yeol dan Duck Soo dibicarakan di Mahkamah Perlembagaan.

Duck Soo, 75, berpengalaman lebih tiga dekad memegang jawatan tinggi di bawah lima Presiden daripada pelbagai parti.

Dalam negara yang terpolarisasi oleh retorik parti, beliau antara sedikit pegawai yang kerjayanya merentasi garis politik.

Parlimen yang dikuasai pembangkang mendakwa beliau gagal menghalang keputusan Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera namun beliau menafikan tuduhan ini.

Ketua Pembangkang, Lee Jae Myung dari Parti Demokrat mendesak Mahkamah Perlembagaan memutuskan pemecatan Suk Yeol segera selepas turut berdepan perbicaraan jenayah berasingan atas tuduhan pemberontakan.

Jika Suk Yeol disingkir, pilihan raya Presiden baharu akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

“Kelewatan mahkamah membuat keputusan hanya memburukkan keadaan dan konflik,” kata Jae Myung yang dijangka menang berdasarkan tinjauan pendapat sekiranya pilihan raya diadakan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN