MANILA: Anggota penyelamat Filipina menemukan serpihan jet pejuang FA-50 yang hilang bersama mayat dua anak kapalnya di kawasan pergunungan di selatan negara itu.
Jet itu dilaporkan hilang tengah malam Isnin ketika dalam misi untuk memberikan sokongan udara kepada tentera yang memerangi pemberontakan gerila komunis di utara Mindanao.
Komander Komando Mindanao Timur, Leftenan Jeneral Luis Rex Bergante mengesahkan mayat dua anak kapal ditemui di dalam serpihan jet tersebut.
“Mayat ditemui di dalam pesawat. Terdapat cubaan untuk membuka payung terjun dan mengeluarkannya.
“Pesawat itu musnah sepenuhnya selepas merempuh pokok di kawasan pergunungan,” jelasnya.
Menurut Leftenan Kolonel Francisco Garello dari Divisyen Infantri ke-4, serpihan jet pejuang yang hilang itu ditemui di Gunung Kalatungan.
Terletak di wilayah Bukidnon di Mindanao, Kalatungan setinggi 2,880 meter ialah gunung kelima tertinggi di Filipina.
Bergante berkata, pihaknya sedang berusaha membawa turun mayat dari lereng gunung dan punca nahas sedang disiasat.
Jurucakap tentera Udara, Kolonel Consuelo Castillo memberitahu, ia adalah insiden besar pertama yang melibatkan skuadron FA-50, yang telah digunakan dalam latihan di Laut China Selatan yang dipertikai.-AFP










