Disangka ada raksasa bawah katil, rupanya penceroboh - Utusan Malaysia

Disangka ada raksasa bawah katil, rupanya penceroboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANSAS: Seorang pengasuh kanak-kanak di Kansas, Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila menemui seorang lelaki yang bersembunyi di bawah katil ketika diminta oleh seorang kanak-kanak untuk memeriksa kehadiran ‘raksasa’.

Dalam kejadian yang berlaku pada Isnin lalu di sebuah kediaman berhampiran bandar Great Bend, pengasuh terbabit sedang cuba menidurkan kanak-kanak di bawah jagaannya apabila salah seorang daripada mereka berasa ketakutan.

“Seorang kanak-kanak mengadu terdapat ‘raksasa’ di bawah katilnya. Ketika mangsa cuba meyakinkan kanak-kanak itu bahawa tiada apa-apa di bawah katil, dia tiba-tiba berdepan dengan seorang lelaki yang sedang bersembunyi,” menurut kenyataan polis.

Berlaku pergelutan antara pengasuh dan suspek, sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak terjatuh dalam kekecohan tersebut.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian.

Siasatan mendapati lelaki tersebut ialah Martin Villalobos Jr, 27, yang sebelum ini pernah tinggal di rumah berkenaan.

Keesokan paginya, pihak berkuasa berjaya mengesan Villalobos dan menangkapnya selepas berlaku kejar-mengejar dalam satu operasi di sekitar kawasan itu.

Villalobos kini berdepan dengan pelbagai pertuduhan termasuk penculikan terancang, pecah rumah, serangan fizikal, membahayakan keselamatan kanak-kanak, menghalang tugas polis serta melanggar perintah perlindungan daripada penderaan.

Dia kini ditahan dengan jaminan ditetapkan sebanyak AS$500,000 (RM2.37 juta). —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN