Dasar Trump disifatkan rumit, pelancong semakin ‘malas’ masuk AS

Dasar Trump disifatkan rumit, pelancong semakin ‘malas’ masuk AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sejak awal bulan ini, prospek industri pelancongan di Amerika Syarikat (AS) mula merosot akibat keputusan dan dasar-dasar Presiden Donald Trump yang dilihat tidak ‘mesra’ warga asing selain kebimbangan tentang kenaikan harga serta pengukuhan mata wang dolar AS.

Menurut laporan dari Tourism Economics yang diterbitkan bulan lalu, ketibaan pelancong asing ke AS dijangka menurun sebanyak 5.1 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, walaupun sebelum ini diramalkan meningkat 8.8 peratus.

Perbelanjaan pelancong juga dijangka merosot sebanyak 10.9 peratus.

“Sejak laporan itu dikeluarkan, situasi pelancongan semakin merosot dan mungkin akan bertambah buruk lagi,” kata Presiden Tourism Economics, Adam Sacks yang menyalahkan kesan antipati atau rasa ‘meluat’ terhadap AS.

KESAN TARIF DAN DASAR IMIGRESEN

Beberapa minggu lalu pentadbiran Trump mencetus perang perdagangan dengan mengenakan tarif ke atas Kanada, Mexico dan China, malah turut mengancam untuk mengenakannya ke atas Kesatuan Eropah (EU).

Rancangan besar untuk mengetatkan dasar imigresen juga semakin giat dijalankan.

Badan kerajaan seperti Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) turut terjejas teruk, dengan ribuan penjawat awam termasuk peguam dan renjer taman diberhentikan.

Rancangan kontroversi berkaitan perang di Ukraine dan Gaza yang dirangka Trump turut mengundang kemarahan global.

“Situasi terkini dengan dasar dan retorik pentadbiran Trump yang memecah belahkan akan menghalang pelancong ke AS.

“Beberapa organisasi mungkin merasa tertekan dan memilih mengelak menganjurkan acara di AS atau menghantar pekerja ke sana, sekali gus menjejaskan perjalanan perniagaan,” tambah laporan itu.

Menurut Institut Forum Pelancongan Dunia, gabungan polisi imigresen yang ketat, dolar yang lebih kukuh dan ketegangan politik global memberi kesan besar terhadap kedatangan pelancong asing malah, berpotensi mengubah sektor pelancongan AS selama bertahun-tahun.

Dalam tinjauan YouGov pada Disember lalu melibatkan penduduk dari 16 negara Eropah dan Asia, 35 peratus responden berkata mereka kurang berminat untuk melawat AS di bawah pentadbiran

Trump, manakala 22 peratus pula berkata, mereka lebih berminat.

RAKYAT KANADA TOLAK AS

Warga Eropah Barat yang menyumbang 37 peratus daripada jumlah pelancong ke AS pada 2024 dijangka paling ramai mencari destinasi lain, diikuti oleh Kanada dan Mexico.

Persatuan Pelancongan AS memberi amaran pada Februari bahawa tarif akan menghalang kedatangan warga Kanada, kumpulan pelancong asing terbesar ke AS dengan 20.4 juta orang pada 2024.

Menurut Statistics Canada, bilangan rakyat Kanada yang pulang dari AS jatuh 23 peratus pada Februari, mencatat penurunan untuk dua bulan berturut-turut.

Bandar New York yang sebelum ini menerima 12.9 juta pelancong asing pada 2024, sudah mula merasai kesannya.

Presiden Pelancongan NYC, Julie Coker mengesahkan pembatalan tempahan oleh pelancong Kanada serta penurunan carian dalam talian untuk hotel dan pertunjukan Broadway.

United Airlines turut melaporkan terdapat penurunan besar dalam perjalanan dari Kanada ke AS serta permintaan untuk perjalanan domestik yang semakin berkurangan, begitu juga dengan beberapa syarikat penerbangan lain.

Beliau berkata, pelancong dari United Kingdom (UK) dan Eropah setakat ini belum menunjukkan sebarang perubahan ketara tetapi pihaknya sedang memantau keadaan ini dengan sangat teliti.

Ini kerana pihak berkuasa Britain dan Jerman mengeluarkan amaran baharu kepada rakyat mereka supaya lebih berhati-hati dengan dokumen perjalanan berikutan risiko ditangkap pihak berkuasa AS.

Menurut Tourism Economics, sektor pelancongan AS berisiko kehilangan sekitar AS$64 bilion (RM282.95 bilion) hasil pada 2025 akibat penurunan pelancongan antarabangsa dan domestik.

Pakar memberi amaran, rakyat AS sendiri terkesan kerana kebimbangan ekonomi, dengan istilah seperti kemelesetan dan inflasi turut menakutkan pelancong.

“Pengukuhan dolar AS bakal menjadikan negara ini lebih mahal untuk pelancong, sekali gus mengurangkan jumlah pelawat serta tempoh penginapan,” kata Tourism Economics.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN